Sebar ‘Ajaran Cahaya’, wanita dipenjara sebulan

Sebar ‘Ajaran Cahaya’, wanita dipenjara sebulan

Kesalahan dilakukan dari September 2023 hingga Disember 2023 di sebuah rumah di Kampung Sungai Dua Besar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Noridayu Hashim mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban atas pertuduhan menyampaikan ajaran sesat. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM2,500 oleh Mahkamah Tinggi Syariah, Seremban, selepas mengaku bersalah mengajar dan bersubahat menyampaikan ajaran sesat iaitu ‘Ajaran Cahaya’, tahun lalu.

Tertuduh yang juga suri rumah Noridayu Hashim, 42, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan kepadanya di depan Hakim Syarie Zulfikri Yasoa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati mengajar ajaran salah kepada seorang wanita berusia 59 tahun dan seorang lelaki 65 tahun yang berlawanan hukum syarak iaitu dengan menganjurkan dan menyatakan bahawa berpelukan berbeza jantina dan bukan mahram adalah dibolehkan kerana ‘Kumpulan Ajaran Cahaya’ adalah malaikat dan tidak mempunyai nafsu.

Dia dituduh melakukan kesalahan bawah Seksyen 35 yang dibaca bersama Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992.

Bagi pertuduhan kedua, dia didapati bersubahat dengan Idris Ami, 60, menyampaikan ajaran salah kepada sekumpulan orang yang dikenali sebagai ‘Kumpulan Cahaya’, lapor Harian Metro.

Tertuduh melakukan kesalahan bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum bawah seksyen sama.

Kedua-dua kesalahan dilakukan dari September 2023 hingga Disember 2023 di sebuah rumah beralamat di Kampung Sungai Dua Besar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Jika disabitkan bagi setiap pertuduhan, tertuduh boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam rayuannya, Noridayu yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana dia dan suami tidak mempunyai kerja tetap dan hanya menjana pendapatan dengan berniaga makanan.

Tertuduh juga memohon maaf atas kesilapannya dan mengakui sudah insaf atas perbuatan itu.

Pendakwa Syarie Abdul Wafi Ramli mencadangkan kepada mahkamah supaya menjatuhkan hukuman setimpal dan wajar dengan mengambil kira keseriusan kesalahan dilakukan.

Mengikut fakta kes, tertuduh menyatakan mahu melakukan perbuatan yang berlawanan hukum syarak iaitu memeluk seorang lelaki berusia 65 tahun dalam satu perjumpaan, namun ditolak lelaki berkenaan sebelum tertuduh memaklumkan bahawa pengikut ‘Ajaran Cahaya’ adalah malaikat dan tidak mempunyai nafsu.

Pada 4 Okt lalu media melaporkan seorang wanita mengaku di dalam dirinya ada roh kudus yang merujuk kepada roh semua rasul dan menganggap sudah mencapai darjat tinggi sehingga tidak perlu beribadat.

Ajaran dikenali sebagai ‘Ajaran Cahaya’ didalangi seorang lelaki itu lebih banyak disebar menerusi media sosial dan ahlinya di Telegram mencecah 5,000 orang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.