Peket makanan ringan disyaki campuran dadah RM6.2 juta dirampas

Peket makanan ringan disyaki campuran dadah RM6.2 juta dirampas

Seorang lelaki direman dipercayai beroperasi secara bersendirian.

Hussein Omar Khan
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan, berkata lelaki berusia 37 tahun itu disyaki terima bekalan dadah dari beberapa negara luar menerusi kurier. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sejumlah 689 peket makanan ringan disyaki mengandungi campuran ganja, bunga ganja, cendawan, dan cecair rokok elektronik dianggar RM6.2 juta dirampas di sebuah kondominium di Damansara.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan, berkata pihaknya terdahulu menahan seorang lelaki berusia 37 tahun bersama 8.5kg ganja di hadapan kondominium, kira-kira 1.30 petang, semalam.

Katanya, suspek dipercayai beroperasi secara bersendirian.

“Sindiket ini agak berbeza yang mana bekalan dadah diperoleh suspek menerusi perkhidmatan kurier dari beberapa negara dan bukan melalui darat seperti yang biasa kita kesan.

“Suspek bertindak membungkus semula bekalan dadah yang diperoleh untuk pasaran tempatan di Selangor, beberapa negeri dalam negara dan negara jiran yang mana ia dijual secara atas talian,” katanya menurut Harian Metro, di IPK Selangor, Shah Alam.

Hussein berkata, suspek melaksanakan aktiviti haram itu di rumah sebelum naik taraf operasi dengan menyewa kondominium.

Beliau berkata, suspek bekerja sebagai pegawai pemasaran syarikat digital itu juga dipercayai aktif sejak setahun lalu.

Katanya, hasil semakan juga mendapati bapa kepada dua anak itu tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan saringan awal air kencing juga negatif.

Beliau berkata, polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton X50 bernilai RM76,000.

Suspek kini direman dengan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.