
Hasnah, 65, mengangkat sumpah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Akhtar Tahir pada majlis yang berlangsung di Dewan Persidangan, Istana Kehakiman.
Dilahirkan di Kuantan, Pahang, Hasnah sebelum ini memulakan kerjayanya sebagai pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara pada 1983.
Sejak itu, beliau memegang beberapa jawatan penting antaranya hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 1994 dan ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (Januari 2009 hingga Mei 2010).
Hasnah juga pernah dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan hakim Mahkamah Rayuan.
Turut mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai hakim Mahkamah Persekutuan ialah Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, 56.
Ahmad Terrirudin yang dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada 12 April 1968 mengangkat sumpah di hadapan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.
Beliau sebelum ini dilantik sebagai peguam negara berkuat kuasa 6 Sept 2023 sebelum mengakhiri tugas rasminya semalam.
Ahmad Terrirudin yang memulakan kerjaya sebagai pegawai undang-undang di Bank Negara pada 1992 pernah berkhidmat sebagai hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur (2007) dan pengerusi Mahkamah Perusahaan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Beliau juga pernah menjadi timbalan ketua Bahagian Guaman III di Jabatan Peguam Negara dan berkhidmat sebagai penasihat undang-undang Kedah sebelum dilantik sebagai ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 2019.
Lapan Hakim Mahkamah Tinggi turut mengangkat sumpah sebagai hakim Mahkamah Rayuan iaitu Noorin Badaruddin; Mohd Firuz Jaffril; Alwi Abdul Wahab; Faizah Jamaludin; Ahmad Kamal Md Shahid; Ismail Brahim; Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Ahmad Fairuz Zainol Abidin.
Kesemua mereka mengangkat sumpah di hadapan Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim.
Sementara itu, 15 pesuruhjaya kehakiman mengangkat sumpah jawatan sebagai hakim Mahkamah Tinggi di hadapan Hasnah.
Mereka terdiri daripada Azizan Md Arshad; Narkunavathy Sundareson; Noor Ruwena Md Nurdin; Jamhirah Ali; Noor Hayati Mat; Azlan Sulaiman dan Kenneth Yong Ken Chinson St James.
Hakim Mahkamah Tinggi yang lain ialah Leong Wai Hong; Noor Hisham Ismail; Roz Mawar Rozain; Wan Fadhilah Nor Wan Idris; Rofiah Mohamad; Wong Mee Ling; Raja Ahmad Mokhzanuddin Shah Raja Mohzan; dan Suria Kumar DJ Paul.
Zaleha Mohd Yusuf Pan, 52, pula dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli.