Bersatu batal hasrat fail petisyen PRK Nenggiri

Bersatu batal hasrat fail petisyen PRK Nenggiri

Ketua Bersatu Kelantan Kamarudin Md Nor berkata parti itu mahu fokus rampas kembali DUN Nenggiri pada pilihan raya akan datang.

CALON DUN NENGGIRI
Azmawi Fikri Abdul Ghani dari BN menewaskan calon PN Mohd Rizwadi Ismail pada PRK Nenggiri, Ogos lalu.
PETALING JAYA:
Bersatu Kelantan memutuskan untuk tidak meneruskan hasrat memfailkan petisyen PRK DUN Nenggiri, kata Ketuanya Kamarudin Md Nor.

Kamarudin berkata parti itu mahu menumpukan usaha menguatkan kedudukan bersama Perikatan Nasional (PN) untuk merampas kembali DUN Nenggiri dari Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang.

“Bersatu memutuskan untuk tidak meneruskan petisyen terhadap pihak berkaitan mengenai PRK Nenggiri.

“Tumpuan kini terarah kepada usaha perkuat parti dan kepimpinan bagi menghadapi PRU akan datang,” katanya kepada FMT.

Pada 21 Ogos lalu, Kamarudin berkata PN sedang mengumpul bukti untuk memfailkan petisyen DUN Nenggiri yang dimenangi calon Barisan Nasional (BN) Azmawi Fikri Abdul Ghani pada PRK berlangsung empat hari sebelum itu.

Azmawi menang dengan majoriti 3,352 undi menewaskan Mohd Rizwadi Ismail yang mewakili PN.

Bagaimanapun pada 9 Okt lalu, Kamaruddin berkata tiada pihak tampil menjadi saksi menyebabkan petisyen PRK DUN Nenggiri yang menyukarkan PN mencabar kemenangan BN.

Menurutnya, petisyen itu boleh dilakukan dalam tempoh enam bulan selepas PRK iaitu sehingga Februari tahun depan.

Pada PRN Kelantan berlangsung Ogos 2023, calon PN Mohd Azizi Abu Naim dari Bersatu merampas DUN Nenggiri daripada BN, namun kerusi itu diisytiharkan kosong oleh DUN Kelantan.

Keputusan itu dibuat selepas Azizi hilang keahlian Bersatu kerana menyokong pentadbiran Anwar Ibrahim, atas kapasiti Ahli Parlimen Gua Musang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.