
Panel tiga hakim diketuai Harmindar Singh Dhaliwal membenarkan lima dokumen diterima sebagai bukti tambahan, dengan menyifatkannya penting kerana ia kelihatan menunjukkan mangsa mungkin telah memberikan keterangan tidak benar semasa perbicaraan terhadap Yong.
“Kami menganggap ini sebagai perkara yang serius kerana sekiranya benar mangsa memberikan keterangan palsu, pemohon (Yong) akan berdepan dengan ketidakadilan yang berat,” katanya.
Harmindar, yang bersidang bersama-sama Rhodzariah Bujang dan Hanipah Farikullah, kemudian mengarahkan kes dihantar semula ke Mahkamah Tinggi dan menetapkan 26 Nov untuk pengurusan kes.
Beliau mengarahkan Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak untuk menerima semua bukti termasuk lima dokumen terbabit serta bukti tambahan yang berkaitan dengan dokumen itu, termasuk keterangan daripada mana-mana saksi.
Harmindar turut mengarahkan Mahkamah Tinggi supaya mengesahkan bukti tambahan itu dan menyediakan kenyataan mengenai pandangan terhadap kes itu, dengan mempertimbangkan bukti baharu yang dikemukakan.
Beliau berkata, sekiranya saksi dipanggil, pihak terlibat akan dibenarkan menyoal balas mereka sebagaimana yang difikirkan sesuai Mahkamah Tinggi.
Mahkamah Persekutuan turut menangguhkan pendengaran rayuan Yong yang dijadual pada 25 Nov, sementara menunggu pengesahan keterangan tambahan daripada Mahkamah Tinggi.
Terdahulu, peguam Hisyam Teh Poh Teik memohon kebenaran untuk menerima satu kenyataan iaitu mangsa menarik balik keterangannya berkaitan dakwaan rogol. Beliau turut menyatakan bahawa dokumen itu menunjukkan bahawa mangsa mungkin telah melakukan kesalahan memberi keterangan palsu.
Beliau berkata, kenyataan berkenaan ditandatangani di hadapan seorang peguam bernama Pathurrahman dan seorang notari bernama Hilman di Indonesia dan semua dokumen terbabit telah dihantar ke rumah Yong menggunakan perkhidmatan kurier pada Mei lalu.
Hisham berkata dalam kenyataannya, mangsa mendakwa dia telah memberi keterangan terhadap Yong kerana Yong enggan menamatkan kontrak pekerjaanya.
Beliau mencadangkan supaya hal berkaitan bukti baharu itu dihantar semula ke Mahkamah Tinggi untuk menentukan kesahihan dokumen terbabit.
Harmindar mengajukan soalan kepada Hisyam sama ada mangsa bersedia memberi keterangan berkaitan dokumen itu. Sebagai tindak balas, peguam kanan itu menyatakan bahawa ada kemungkinan mangsa tidak akan hadir kerana boleh ditahan atas tuduhan memberi keterangan palsu sebaik sahaja dia kembali ke Malaysia.
Timbalan Pendakwa Raya Faizal@Amrin Noor Hadi membantah permohonan itu dan mengatakan bahawa dokumen itu tidak disahkan dan hanya berdasarkan khabar angin.
Pada 1 Mac lalu, Mahkamah Rayuan, dalam keputusan berasingan, menolak rayuan dan mengekalkan sabitan bersalah Yong atas tuduhan merogol pembantu rumahnya, seorang warga Indonesia berusia 23 tahun, di sebuah bilik di rumahnya di Ipoh antara 8.15 dan 9.15 malam, pada 7 Julai 2019.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan bagaimanapun telah mengurangkan hukuman penjara Yong dari 13 kepada lapan tahun dengan dua sebatan. Panel berkenaan telah membenarkan penangguhan pelaksanaan sementara menunggu penyelesaian rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Keputusan itu mendorong Yong untuk merayu keputusan itu di Mahkamah Persekutuan. Yong dibebaskan dengan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin dan diperintahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah.