Kerajaan tak berhasrat tubuh syarikat monopoli REE

Kerajaan tak berhasrat tubuh syarikat monopoli REE

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad sebarang penambahbaikan akan dibuat melalui akta berkaitan.

nik nazmi
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad kata kerajaan tiada hasrat tubuh syarikat untuk monopoli REE. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan tiada hasrat menubuhkan sebuah syarikat untuk memonopoli unsur nadir bumi (REE), seperti mana dilakukan dalam industri minyak dan gas melalui Petronas, kata Nik Nazmi Nik Ahmad.

Menteri sumber asli dan alam sekitar itu berkata demikian ketika menjawab cadangan daripada beberapa Ahli Parlimen.

“Itu tidak timbul sebab kita mahu menggunakan Akta Pembangunan Mineral dan juga Perlembagaan sedia ada.

“Apa-apa pun kita akan melalui Akta Pembangunan Mineral untuk kita tambah baik tapi kita tak berhasrat untuk membuat satu syarikat monopoli dan sebagainya,” katanya di Dewan Rakyat pada sesi penggulungan Belanjawan 2025 peringkat dasar bagi kementeriannya.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata hala tuju REE yang melihat kepada keseluruhan rantaian di peringkat huluan, pertengahan dan hiliran telah dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara Keenam Tahun 2024, yang dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Katanya, kajian cadangan model perniagaan untuk industri REE dilaksanakan oleh Akademi Sains Malaysia dengan melihat keseluruhan ekosistem itu.

“Malaysia memiliki potensi yang besar untuk terlibat dalam industri ini terutamanya di peringkat hiliran untuk menjadi negara pengeluar yang menyokong perkembangan industri pembuatan kenderaan elektrik.

“Namun, ekosistem ini memerlukan adanya industri pertengahan tempatan bagi memproses sumber mentah REE dalam bentuk ‘rare earth carbonate’ yang dikeluarkan dan dihasilkan oleh lombong-lombong tempatan,” katanya.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata syarikat perlombongan nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd, beri komitmen dan bersedia membuka kemudahan kepada Malaysia untuk memproses REE negara ini.

“Sekarang proses REE dari Australia berbeza dengan Malaysia. Lynas beri komitmen bahawa mereka sedia untuk membuka satu lagi kemudahan bagi memproses REE dari negara kita.

“Di pihak Lynas, mereka meminta tempoh lesen yang panjang dan perkara ini sedang dibincangkan secara terbuka untuk dinilai,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.