5 ditahan, polis rampas dadah RM3 juta di P Pinang

5 ditahan, polis rampas dadah RM3 juta di P Pinang

Polis menganggarkan ekstasi, syabu dan ketamin yang dirampas itu boleh digunakan lebih 125,000 penagih dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Khaw Kok Chin berkata suspek berusia 32 hingga 59 tahun itu ditahan menerusi tiga serbuan di Pulau Pinang Rabu lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis menahan lima lelaki dipercayai anggota sindiket dan merampas dadah berjumlah RM3 juta di Pulau Pinang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Khaw Kok Chin, berkata pasukannya dan JSJN IPK Pulau Pinang menjalankan serbuan pada 9.50 malam Rabu lalu.

“Dalam serbuan pertama, tiga lelaki ditahan di sebuah rumah di Tanjung Bungah dan merampas 40.65kg bahan kimia serta peralatan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam serbuan kedua dan ketiga di Air Hitam serta George Town, polis menahan dua lagi lelaki disyaki ada kaitan dengan sindiket itu.

Mereka merampas ekstasi (13.99kg), syabu (6.03kg) dan ketamin (4.99kg) yang dianggarkan boleh digunakan lebih 125,000 penagih dadah, serta dua kenderaan dan sebuah motosikal.

Khaw berkata, sindiket itu menyewa rumah untuk dijadikan makmal memproses dan menyimpan dadah, sebelum diedarkan ke Pulau Pinang serta Lembah Klang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau, dengan ujian air kencing empat daripadanya positif dadah.

Katanya, polis sedang mengesan ahli lain sindiket itu yang dipercayai aktif mulai pertengahan tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.