
Saifuddin berkata, dasar luar Malaysia sentiasa berprinsip dan konsisten, mengambil pendekatan terhitung dan terukur dalam kata-kata mahupun perbuatan.
“Kita ada pemahaman sendiri tentang (keadaan) geopolitik dunia, terutamanya mengenai tindakan dan tabiat kuasa-kuasa besar,” kata Ahli Parlimen Indera Mahkota itu, yang juga ketua Perikatan Nasional (PN) Pahang.
Beliau berkata, hubungan dua hala antara Malaysia dengan China dan Amerika Syarikat, terutamanya dalam perdagangan dan ekonomi ‘adalah berdasarkan tafsiran kita sendiri mengenai situasi semasa dan tidak dipengaruhi oleh pendapat kuasa lain’.
“Mengenai propaganda Barat terhadap China – seperti yang dinyatakan oleh perdana menteri – saya setuju dengan beliau,” katanya kepada FMT.
Pertikaian maritim
Beliau berkata demikian mengulas pendirian Anwar menolak cubaan menggambarkan China sebagai agresif dan cenderung ke arah konfrontasi, yang menurutnya lazim dicetuskan oleh ‘kapitalis Barat’.
Perdana menteri berkata, Asean mesti bekerjasama melawan tuntutan China terhadap kedaulatan Laut China Selatan, dengan mekanisme sudah tersedia untuk menyelesaikan pertikaian sedemikian dengan cara selain konfrontasi.
Bersetuju dengan Anwar, Saifuddin berkata, Malaysia harus terus menggunakan mekanisme Asean untuk menangani sebarang pertikaian wilayah dengan China, termasuk mendesak agar kod etika di Laut China Selatan dimuktamadkan.
“(Langkah itu) bukan tentang menjadi lebih keras, tetapi untuk menjamin kepentingan kita dan menegakkan kedaulatan negara kita,” katanya.
Beliau berkata, hal ini tidak bermakna Malaysia memberi kelonggaran kepada China berhubung pencerobohan, sambil menambah Malaysia tidak pernah berkompromi dalam pertikaian wilayah.
Pilihan alternatif
Bagaimanapun, penganalisis keselamatan dan strategi Collins Chong membantah sebarang tindakan yang bercanggah dengan Konvensyen PBB mengenai Undang-undang Laut (Unclos) dan keputusan pada 2016 bahawa tuntutan maritim China yang meluas di Laut China Selatan tidak mempunyai asas undang-undang.
Chong berkata, negara-negara berpendirian wajar yang menegakkan aturan berasaskan peraturan diwajibkan menentang risiko sedemikian terhadap kedaulatan mereka, apabila terancam.
“Malaysia perlu memperkukuh pilihan alternatif kita, khususnya dari segi kapasiti kuasa keras dan usaha pertahanan, bukannya hanya bergantung kepada pendekatan konvensional.
“Kita tidak memilih konfrontasi langsung dengan intensiti tinggi, tetapi itu tidak bermakna kita lemah dalam mempertahankan kepentingan kita,” katanya.
“Kita perlu meningkatkan pengaruh pertahanan dan pakatan kita dengan kuasa yang sudah kukuh dalam menjaga dan menegakkan kedaulatan negara dan undang-undang antarabangsa.”