Lebih 17,000 remaja hamil tanpa kahwin, kata Nancy

Lebih 17,000 remaja hamil tanpa kahwin, kata Nancy

Kebimbangan ibu bapa berkait maklumat kesihatan reproduktif hanya akan timbulkan rasa ingin tahu kalangan remaja.

pregnant woman
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri, berkata 44,263 kes kehamilan remaja direkodkan sejak lima tahun lalu. (Gambar Freepik)
KUCHING:
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri menyuarakan kebimbangan isu kehamilan remaja, perkahwinan bawah umur, pembuangan bayi, dan pengguguran tidak selamat di negara ini.

Beliau berkata, berdasarkan data Kementerian Kesihatan 44,263 kes kehamilan remaja telah direkodkan sejak lima tahun lalu, dan daripada jumlah itu 17,646 melibatkan remaja belum berkahwin.

“Sepanjang tempoh 2019 hingga 2023, Sarawak merekodkan 9,258 kes kehamilan remaja dan daripada jumlah ini, 5,627 kes adalah tidak berkahwin semasa hamil.

“Di Sarawak, kes kehamilan remaja merekodkan angka yang tinggi disebabkan adanya perkahwinan adat yang membenarkan perkahwinan di bawah umur, selain belum ada pindaan dibuat untuk menetapkan had umur perkahwinan bagi perempuan dinaikkan kepada 18 tahun,” katanya.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata demikian ketika berucap pada majlis Forum Advokasi Pendidikan Reproduktif dan Sosial (Pekerti) Edisi Ibu Bapa Peringkat Sarawak.

Nancy berkata, perbincangan mengenai topik seks seharusnya tidak lagi dianggap sebagai isu yang dilarang atau sensitif, kerana kebimbangan ibu bapa atau masyarakat tentang maklumat kesihatan reproduktif hanya akan menimbulkan rasa ingin tahu dalam kalangan remaja.

“Dalam era globalisasi ini, remaja menghadapi pelbagai cabaran seperti pengaruh budaya luar, akses maklumat tanpa had dan tekanan untuk menyesuaikan diri dengan norma sosial yang berubah,” katanya.

Kira-kira 200 peserta yang menghadiri forum yang memberi pendedahan dan pengetahuan mengenai kepentingan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial kepada ibu bapa berkenaan diharap dapat membantu dalam proses kemandirian dan sosialisasi remaja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.