Kerajaan mahu Dhaka perjelas permintaan ekstradisi 2 individu

Kerajaan mahu Dhaka perjelas permintaan ekstradisi 2 individu

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata Bangladesh perlu menyatakan sama ada ia mahu menyiasat Aminul Islam dan Ruhul Amin atau mendakwa mereka di mahkamah.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau telah membincangkan permintaan ekstradisi Bangladesh dengan peguam negara dan ketua polis negara.
NIBONG TEBAL:
Kerajaan mahu Bangladesh menjelaskan tujuan permintaannya untuk mengekstradisi dua ahli perniagaan, pengasas Bestinet Sdn Bhd Aminul Islam dan rakan perniagaannya Ruhul Amin.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail. berkata Dhaka perlu mendedahkan sama ada ia mahu menyiasat Aminul dan Ruhul atau mendakwa mereka di mahkamah, sambil menambah ia tidak menyatakan tujuan permintaan ekstradisi itu.

“Kalau objektifnya untuk Dhaka menjalankan siasaan, ia kena gunakan saluran bantuan perundangan bersama.

“”Jika tujuan Dhaka adalah untuk mendakwa nama-nama ini di mahkamah, maka Dhaka harus mengatakan itu tujuan ekstradisi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada satu acara di sini hari ini.

Saifuddin berkata kedua-dua mereka hanya boleh diekstradisi jika Dhaka mendakwa mereka dan perkara itu telah dibincangkan dengan peguam negara dan ketua polis negara.

“Saya percaya KPN akan menangani perkara ini, berhubung dengan rakan sejawatannya dari Bangladesh.”

Bloomberg melaporkan polis Bangladesh menulis surat kepada Putrajaya meminta penahanan dan ekstradisi dua individu itu untuk membantu siasatan dakwaan pengubahan wang haram, pemerasan dan pemerdagangan pekerja asing.

Menurut surat bertarikh 24 Okt dari cawangan Interpol Bangladesh, yang dihantar kepada pihak berkuasa Malaysia, mangsa didakwa diseksa secara fizikal dan mental.

Aminul, yang dilahirkan di Bangladesh tetapi telah diberikan kewarganegaraan Malaysia, dan Ruhul telah menafikan dakwaan itu. Ruhul memiliki firma pengambilan pekerja Catharsis International yang berpangkalan di Dhaka.

Polis Bangladesh juga meminta Putrajaya menghentikan sementara penggunaan perisian komputer yang dibekalkan oleh Bestinet.

Bestinet baru-baru ini mempunyai kontrak enam tahun untuk membangunkan dan menyelenggara Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) yang dilanjutkan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Pada Julai, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan bahawa Bestinet mempunyai 24 pengguna tanpa kebenaran di FWCMS yang terlibat dalam meluluskan permohonan untuk pengambilan pekerja asing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.