
Hal ini kerana DAP Sabah lebih memahami dinamika dan keadaan politik di negeri itu, katanya.
“Semalam saya ke Labuan dan bersama dengan Pengerusi DAP Sabah Phoong Jin Zhe. Beliau ada memberi penerangan berkenaan dinamika dan politik di Sabah dan saya menaruh kepercayaan kepada pimpinan baharu kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Konvensyen Biasa DAP Selangor di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, lapor Bernama.
Turut hadir Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan yang juga Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor yang juga Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim dan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Johan Abdul Aziz.
Pada 3 Nov lepas, Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dilaporkan berkata, perbincangan antara semua parti komponen GRS dengan parti politik terutamanya PH dijangka diadakan bulan ini.
Dalam perkembangan lain, Loke berkata dalam tempoh dua tahun ini, kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berjaya mencapai kestabilan politik sekali gus menggerakkan ekonomi negara.
“Pada peringkat persekutuan, kita sangat kukuh dari segi kerjasama dan Jemaah Menteri berfungsi dengan lancar, bukan sahaja bersama Barisan Nasional tetapi juga dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan GRS.
“Kalau kita dapat bina ekonomi yang kukuh dan mentadbir negara dengan baik dalam tempoh tiga tahun akan datang, jika semua berjalan baik, sudah tentu kerjasama ini kita harap dapat diteruskan,” katanya.