
Menyangkal khabar angin bahawa Pemuda PAS tidak senang dengan pihak yang dilihat sehaluan dengan Azmin Ali, Hilman berkata, bekas timbalan presiden PKR itu selama ini mempunyai hubungan rapat dengan PAS.
“Soal pemilihan saya (sebagai ketua Pemuda Bersatu), mungkin ada benarnya sesetengah pimpinan (Pemuda PAS) tidak selesa dengan cara saya bekerja,” katanya, lapor Utusan Malaysia.
“Tetapi realitinya, ada beberapa pemimpin PAS sendiri menghubungi dan mengucapkan tahniah atas kemenangan saya. Jadi, apa maknanya itu?”
Adun Gombak Setia itu turut mengimbau tawaran ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) ketika sayap itu baru ditubuhkan, Khairil Nizam Khirudin daripada PAS, kepadanya untuk menjadi ketua penerangan Pemuda PN.
“Jadi, tidak timbul isu Pemuda PAS tidak boleh bekerjasama dengan saya,” katanya.
“Saya boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja demi mencapai matlamat PN menang pilihan raya, boleh duduk di atas landasan prinsip dan idealisme jelas yang memberi untung kepada rakyat.”
Dengan 1,888 undi, Hilman menewaskan pengerusi tetap Pemuda Bersatu Akmal Zahin Zainal Zahir, yang memperoleh 1,718 undi, dalam persaingan jawatan ketua Pemuda Bersatu.
Sebelum ini, FMT memetik sumber Pemuda Bersatu sebagai berkata, kebolehan menguruskan hubungan dengan Pemuda PAS akan menjadi pertimbangan utama perwakilan Bersatu apabila memilih pemimpin baharu sayap itu.
Sumber itu berkata, Pemuda PAS tidak ‘tidak berapa gemar’ dengan puak Azmin dalam Bersatu.
PAS sementara itu menafikan dakwaan mereka ‘lebih berkenan kem tertentu’ dalam pertandingan ketua Pemuda Bersatu.
Hilman, bekas timbalan ketua Pemuda PKR, meninggalkan parti pimpinan Anwar Ibrahim itu pada 2020 susulan Langkah Sheraton yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Beliau menepis persepsi beliau setia kepada Azmin dengan berkata, beliau juga ‘orang’ Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Apa yang lebih penting, katanya, adalah mengangkat Bersatu ke tahap yang lebih tinggi.
Beliau berkata, Bersatu perlu tampil menjadi parti Melayu-Islam yang dominan, terutamanya apabila ia dilihat sebagai ‘ganti’ Umno.
Hilman mengakui jentera pilihan raya Bersatu ‘tidak terarah dan bertaburan’, tidak seperti PAS, namun katanya, parti itu masih muda, hanya ditubuhkan lapan tahun lepas.
Dalam pada itu, beliau memuji kesetiaan ahli Bersatu yang kekal bersama parti walaupun mengalami ‘kelesuan politik’ apabila tidak menjadi sebahagian kerajaan.
“Mereka masih kekal dalam Bersatu dan Pemuda kerana mereka ini pejuang yang sudah tentu setia dan tahap kesetiaan mereka diuji apabila tidak sesekali meninggalkan parti walaupun menjadi pembangkang.”