Wanita Vietnam disyaki bakar 3 rumah, 4 kenderaan ditahan

Wanita Vietnam disyaki bakar 3 rumah, 4 kenderaan ditahan

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

khianat bakar rumah
Anggota bomba berusaha memadam kebakaran membabitkan tiga rumah dan empat kenderaan dalam kejadian di Taman Singa, di Sitiawan semalam. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang wanita Vietnam bagi membantu siasatan kes khianat membabitkan kebakaran tiga rumah dan empat kenderaan di Taman Singa, di Sitiawan, Perak, semalam.

Ketua Polis Manjung, Hasbullah Abd Rahman, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian oleh pengadu lelaki berusia 42 tahun pada 2.50 pagi.

Katanya, rumah pengadu terbabit musnah 90% selain kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50, Perodua Myvi dan sebuah motosikal Yamaha Ego miliknya yang turut hangus dalam kebakaran.

“Kebakaran yang berpusat dari garaj kediaman mangsa pertama merebak ke dua rumah bersebelahan mangsa serta sebuah lagi motosikal Yamaha LC, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mendapati kelibat seorang lelaki membawa dua tong dipercayai berisi cecair bahan bakar ke arah rumah pengadu.

“Suspek kemudiannya melarikan diri selepas api mula menyala dan kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api,” katanya dalam kenyataan semalam, menurut Harian Metro.

Hasbullah berkata bertindak atas maklumat, polis menahan seorang wanita Vietnam berusia 38 tahun bagi membantu siasatan.

“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nur Munawara Ahmad di talian 011-16240391 atau Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-688 6222,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.