Meritokrasi ketat tak akan berkesan di Sarawak, kata senator PKR

Meritokrasi ketat tak akan berkesan di Sarawak, kata senator PKR

Penduduk luar bandar masih kekurangan akses kepada prasarana asas, kata Abun Sui Anyit.

Abun Sui Anyit
Senator Abun Sui Anyit kata pendekatan meritokrasi secara ketat tidak akan berkesan di Sarawak berikutan ketidakseimbangan dalam pengagihan kekayaan. (Gambar Parliament of Malaysia)
PETALING JAYA:
Seorang senator PKR menolak penggunaan meritokrasi secara ketat di Sarawak selepas ia memutuskan untuk menghapuskan kuota kemasukan di lima universiti milik kerajaan negeri.

Senator Abun Sui Anyit berkata pendekatan meritokrasi secara ketat tidak akan berkesan di Sarawak berikutan ketidakseimbangan dalam pengagihan kekayaan di seluruh negeri itu, lapor Dayak Daily.

Beliau menjelaskan penduduk luar bandar, khususnya Dayak, masih kekurangan akses kepada prasarana asas seperti bekalan air bersih, elektrik, internet dan jalan raya, menyebabkan mereka berada pada kedudukan yang tidak sama rata berbanding orang senegeri di bandar.

Abun berkata belanjawan negeri 2025 masih perlu tindakan afirmatif bersasaran, untuk memartabatkan golongan itu dan membuka laluan kepada landskap ekonomi yang lebih seimbang.

“Sudah tiba masanya dasar dirombak secara tuntas yang memastikan pertumbuhan mampan dan memberi kepada penduduk luar bandar sokongan yang mereka perlukan untuk berkembang maju seiring kawasan bandar,” katanya.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Annuar Rapa’ee pada Sabtu lepas menggambarkan kemungkinan kemasukan ke lima pusat pengajian milik kerajaan negeri berdasarkan merit atau kelayakan yang telah ditetapkan, lapor Utusan Borneo.

Lima pusat itu ialah Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, Universiti Curtin Malaysia, Universiti Teknologi Sarawak, Kolej Universiti i-CATS, dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak.

Bagi memastikan pelajar luar bandar diterima masuk ke institusi tersebut, Annuar berkata Sarawak sedang menaik taraf kemudahan pendidikan dan memperuntukkan RM15 juta setiap tahun untuk menyediakan tuisyen percuma kepada pelajar Tingkatan 3 dan Tingkatan 5.

Langkah itu disambut baik oleh beberapa pihak termasuk bekas menteri Zaid Ibrahim yang berkata negeri lain harus mencontohi Sarawak.

Pakar pendidikan, Kua Kia Soong, juga mengalu-alukan langkah Sarawak tetapi berkata tindakan afirmatif harus dikekalkan untuk masyarakat kurang bernasib baik, seperti Orang Asal.

Kua berkata tindakan afirmatif harus meletakkan matlamat khusus, quota, dan ‘sunset clauses’ bagi mengelakkan penyalahgunaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.