Tiada isu berkait penggal Anwar sebagai presiden PKR, kata Fahmi

Tiada isu berkait penggal Anwar sebagai presiden PKR, kata Fahmi

Ketua penerangan PKR berkata tidak timbul sebarang isu berkait tempoh tiga penggal Anwar Ibrahim sebagai presiden parti itu.

ANWAR IBRAHIM
Anwar Ibrahim memimpin PKR selaku presiden parti yang dipegangnya sejak 2018.
CYBERJAYA:
Anwar Ibrahim boleh terus kekal menjadi perdana menteri kerana masih ada banyak masa untuk menerajui PKR, kata Fahmi Fadzil.

Ketua penerangan PKR berkata, tiada isu Anwar kekal sebagai presiden parti itu kerana masih mempunyai penggal mencukupi, dan boleh terus berkhidmat selaku perdana menteri selepas PRU16.

“Tidak berlaku sebarang isu kerana jawatan yang turut disandang perdana menteri ialah sebagai pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan juga pengerusi bagi Majlis Rundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan.

“PKR memang mengamalkan had tiga penggal bagi jawatan presiden, tetapi pada waktu ini tidak ada isu berbangkit,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Kurier Negara 2024.

Khamis lalu, Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, berkata Anwar akan terus memegang jawatan presiden PKR pada pemilihan parti dijangka berlangsung tahun depan.

Fuziah yang dipetik Utusan Malaysia berkata, perlembagaan parti hanya membenarkan setiap presiden memegang jawatan selama tiga penggal.

Ini menimbulkan persoalan jika penggal selepas pemilihan akan datang menjadi penggal terakhir Anwar memimpin PKR selaku presiden parti yang dipegangnya sejak 2018, dan bagaimana kedudukannya dalam kerajaan.

Sementara itu, Fahmi berkata buat masa ini PKR belum memutuskan lagi tarikh untuk pemilihan parti.

PKR bakal melangsungkan pemilihan parti tahun depan dengan jawatan presiden dan timbalannya dipertandingkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.