
Beliau berkata akta berkenaan kini sudah berada di peringkat draf akhir sebelum dibentangkan.
“Akta itu penting untuk menjaga kebajikan pekerja gig yang bekerja sendiri dan tanpa majikan,” katanya selepas merasmikan Karnival Kerjaya MyFutureJobs Perkeso Oghe Kelate 2024 hari ini, lapor Berita Harian.
Pada 28 Okt lalu, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dilaporkan berkata satu akta baharu berkaitan pekerja gig akan digubal dalam usaha melindungi kebajikan mereka.
Beliau berkata, pembentangan rang undang-undang (RUU) itu akan dibuat Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) pada sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung, setelah selesai sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025.
Dalam perkembangan lain, Abdul Rahman berkata, kerajaan tidak memberi kelonggaran kepada majikan yang tidak mampu menawarkan gaji minimum kepada pekerja sebaik dikuatkuasakan bermula Februari depan.
“Kalau ada yang buat laporan kita tidak boleh ambil laporan sebab berkuat kuasa pada Februari 2025,” katanya.