Pemilihan U Mobile muktamad, kata menteri

Pemilihan U Mobile muktamad, kata menteri

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menegaskan keputusan dibuat secara bebas oleh pasukan teknikal tanpa campur tangan kerajaan.

Fahmi Fadzil
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil sedia memberikan maklumat tambahan mengenai pemilihan U Mobile melaksanakan rangkaian 5G kedua kepada Ahli Parlimen.
PUTRAJAYA:
Pemilihan U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) sebagai penyedia rangkaian 5G kedua negara muktamad dan tidak akan disemak semula walaupun berdepan kritikan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata pemilihan dibuat secara bebas oleh pasukan teknikal dan diputuskan sebulat suara bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) tanpa campur tangan kerajaan.

“Pihak pentadbiran (kementerian) tidak terlibat, tiada campur tangan. Saya perlu ingatkan, ini bukan kontrak, ini bukan lesen.

“Sekiranya ada dalam kalangan Ahli Parlimen ingin mendapat maklumat tambahan, saya sedia berikan,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri.

Fahmi berkata, sehari selepas pengumuman pemilihan itu, U Mobile memaklumkan mereka sedia bekerjasama dengan rakan strategik, termasuk syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih lain.

Beliau berkata, seterusnya SKMM akan mengadakan pertemuan dengan syarikat itu bagi membincangkan kerjasama tersebut serta perancangan U Mobile dalam pelaksanaan rangkaian 5G kedua.

“Jadi kita tunggu pertemuan itu dulu…pihak SKMM akan mendapat maklum balas daripada U Mobile, apa perancangan mereka, perbincangan (dengan rakan strategik) dan mungkin selepas itu, akan ada makluman susulan,” katanya.

Katanya, U Mobile tetap akan dikenakan syarat sebagaimana CelcomDigi dalam pelaksanaan rangkaian 5G pertama.

Sebelum ini, tokoh veteran industri internet Mohamed Awang Lah menggesa kerajaan lebih telus mengenai pemilihan U Mobile sebagai pengendali rangkaian 5G kedua negara, dengan seorang pakar telekomunikasi menggesa butiran mengenai pemilihan itu didedahkan kepada umum.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.