Muhyiddin diarah bayar RM1.35 juta kerana fitnah Guan Eng

Muhyiddin diarah bayar RM1.35 juta kerana fitnah Guan Eng

Mahkamah Tinggi memutuskan kenyataan dikeluarkan Muhyiddin Yassin merendahkan reputasi bekas menteri kewangan.

lim guan eng
Reaksi Lim Guan Eng ketika keluar dari Mahkamah Tinggi selepas hakim memutuskan Muhyiddin Yassin memfitnah beliau berkait isu pembatalan pengecualian cukai Yayasan Albukhary.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi memerintahkan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin membayar ganti rugi RM1.35 juta kepada Lim Guan Eng berhubung tiga kenyataan fitnah berkait isu pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.

Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain, berkata bekas menteri kewangan berjaya membuktikan kesnya terhadap Muhyiddin melalui imbangan kebarangkalian.

“Kenyataan tersebut merendahkan reputasi beliau di mata orang awam,” katanya dalam penghakiman.

Roz Mawar memerintahkan Muhyiddin membayar ganti rugi am RM350,000 bagi setiap kenyataan, RM150,000 sebagai ganti rugi teruk, dan tambahan RM150,000 sebagai ganti rugi teladan.

Roz Mawar juga memerintahkan Muhyiddin membayar kos sebanyak RM50,000 serta menarik balik kenyataan itu dan tidak mengulanginya.

Pada 27 Mac tahun lalu, Lim memfailkan saman terhadap Muhyiddin yang didakwa mengeluarkan tiga kenyataan berunsur fitnah melibatkannya berhubung isu itu pada 9, 11 dan 12 Mac 2023.

Laporan berhubung isu itu kemudian diterbitkan oleh beberapa akhbar dan portal berita.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang turut mendakwa, kenyataan itu membawa maksud beliau menyalahgunakan kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa atau mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri mengenakan cukai serta penalti terhadap Yayasan Albukhary.

Lim berkata, kenyataan itu menggambarkannya sebagai menyalahgunakan kuasa, bersikap perkauman, anti-Melayu, anti-Islam, dan bertindak dalam niat jahat.

Roz Mawar yang bersetuju dengan kenyataan Lim, menyatakan bahawa pembelaan Muhyiddin terhadap justifikasi, ulasan yang adil, dan kelebihan yang selayaknya, adalah tidak mampan kerana kenyataannya tidak berdasarkan asas fakta yang benar.

Beliau berkata, kenyataan itu menggambarkan Lim menyalahgunakan kuasanya terhadap umat Islam yang menimbulkan kebencian dalam masyarakat majmuk.

Roz Mawar berkata, Muhyiddin tidak mengesahkan kebenaran kenyataannya itu dengan Pengerusi Yayasan, Syed Mokhtar Al-Bukhary, atau Kementerian Kewangan sebelum membuat kenyataan itu.

Katanya, Muhyiddin juga mempunyai sumber untuk mengesahkan mengenai kenyataan itu tetapi tidak berbuat demikian dan terus membuat kenyataan berunsur fitnah.

“Beliau juga tidak meminta maaf walaupun telah diminta berbuat demikian,” katanya.

Roz Mawar berkata, kenyataan Ketua Seksyen Bahagian Cukai Kementerian Kewangan, Hazlan Abdul Aziz, menguatkan lagi kes Lim dan melemahkan pembelaan Muhyiddin.

Hazlan, yang juga saksi Muhyiddin, ketika disoal balas berkata tiada rekod menunjukkan Lim membatalkan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.

Lim diwakili peguam Guok Ngek Seong dan Phyllia Lim.

Peguam Chetan Jethwani yang mewakili Muhyiddin, berkata beliau diarahkan untuk memfailkan rayuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.