
Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata Kabinet yang membincangkan kejadian berlaku 1.54 tengah hari waktu tempatan (7.54 malam waktu Malaysia) itu tidak boleh menerima kekejaman rejim Zionis terbabit.
Katanya, Israel bertindak kejam dengan melancarkan serangan berterusan terhadap Lubnan serta pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) yang turut dianggotai tentera Malaysia.
“Dari segi perancangan selepas ini, segala tindakan akan dirujuk kepada Kementerian Pertahanan,” katanya pada sidang media.
Dalam kejadian itu, lima anggota membabitkan Malbatt 850-12 yang baru tiba di negara tersebut cedera ringan termasuk seorang mengalami kecederaan di bahagian tangan (disyaki retak tangan kiri) dan seorang lagi anggota Malbatt 850-11.
Menurut kenyataan dikeluarkan ATM malam tadi, letupan itu menyasarkan sebuah kenderaan awam lain yang sedang menghala ke Beirut namun turut mengakibatkan kerosakan pada sebuah bas yang membawa anggota Malbatt 850-12.
Tentera Darat Lubnan memaklumkan kenderaan membawa anggota pengaman Malbatt yang bertugas bawah pasukan UNIFIL sedang melalui sekatan jalan.
“Tentera Israel mengebom sebuah kereta yang melalui Awali di Sidon. Serangan ini menyebabkan tiga warga Lubnan maut,” kata kenyataan itu.