Kemuncak Monsun Timur Laut dijangka hujung bulan ini

Kemuncak Monsun Timur Laut dijangka hujung bulan ini

MetMalaysia meramalkan negeri-negeri di sempadan Malaysia-Thailand dan Pantai Timur menerima taburan hujan 20-40% lebih tinggi.

hujan ribut
Banjir besar hanya akan berlaku jika taburan hujan yang tinggi dicatatkan dalam tempoh yang pendek, seperti melebihi 20% dalam tempoh dua hari, menurut MetMalaysia. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Monsun Timur Laut (MTL) dijangka mencapai kemuncaknya hujung bulan ini, menyaksikan taburan yang tinggi di sempadan Malaysia-Thailand selain negeri Pantai timur serta Sabah dan Sarawak.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Mohd Hisham Mohd Anip berkata, dalam tempoh itu, negeri-negeri berkenaan dijangka menerima taburan hujan antara 20 hingga 40% lebih tinggi.

Bagi negeri di Semenanjung, katanya, tempohnya bermula penghujung November sehingga awal Januari depan, manakala di Sabah dan Sarawak dijangka sehingga Februari atau Mac.

“Walaupun ramalan menjangkakan taburan hujan meningkat 20 hingga 40%, tidak semestinya banjir besar akan berlaku,” katanya.

“Banjir besar hanya berlaku jika taburan hujan yang tinggi dicatatkan dalam tempoh yang pendek, sebagai contoh melebihi 20% dalam tempoh dua hari.”

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri sesi libat urus persiapan kerajaan menghadapi MTL di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia di Pulau Meranti hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Hisham juga menyeru orang ramai untuk memuat turun aplikasi myCuaca sebagai rujukan ramalan cuaca di lokasi masing-masing.

“Segala maklumat terkini berhubung cuaca akan dimaklumkan dalam aplikasi berkenaan, malah turut dikongsi maklumat berkaitan situasi laut dan gempa bumi. Sehingga kini seramai 200,000 pengguna telah memuat turun aplikasi itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Operasi) Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Dr Salwa Ramly berkata, pihaknya telah menjalankan kerja selenggara terhadap 500 siren amaran banjir di seluruh negara sebagai persiapan menghadapi MTL.

Siren berkenaan memberi amaran kepada penduduk setempat berdasarkan kepada status aras air sungai dengan bunyi yang boleh didengar sehingga 2km, katanya.

Orang ramai juga diminta melaporkan kepada pihak JPS jika terlihat mana-mana siren amaran banjir yang rosak di kawasan masing-masing agar tindakan segera boleh diambil.

“Kami sarankan masyarakat supaya turut menjaga siren ini sebab ada yang tidak berbunyi kerana perbuatan vandalisme selain terlalu banyak sampah tersangkut pada siren,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.