Tak perlu muzium ‘angkat’ ajaran sesat, wakil rakyat Langkawi diberitahu

Tak perlu muzium ‘angkat’ ajaran sesat, wakil rakyat Langkawi diberitahu

Mufti Kelantan dan Pahang tolak cadangan Ahli Parlimen Langkawi Suhaimi Abdullah supaya kerajaan ambil alih hotel milik GISBH untuk dijadikan muzium ajaran sesat.

Mohamad Shukri Mohamad dan Asmadi Mohamed Naim senada usaha memperbaiki akidah orang Islam yang telah menyeleweng lebih penting berbanding mewujudkan muzium ajaran sesat.
PETALING JAYA:
Dua mufti menolak cadangan seorang wakil rakyat pembangkang agar kerajaan mengambil alih aset seperti hotel dan premis milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) untuk dijadikan muzium ajaran sesat.

Mempersoalkan kewajarannya, Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad berkata konsep muzium adalah untuk mempamerkan sesuatu khazanah bernilai dan boleh dibanggakan, bukan menonjolkan perkara tidak memberi manfaat seperti ajaran pengikut GISBH.

“Kalau kita tengok konsep muzium, tempat kita nak letak bahan-bahan yang boleh jadi bahan sejarah yang dibanggakan, ajaran sesat ini nak bangga apa?

“Tak perlu ditonjol-tonjolkan, yang penting dapat didik mereka kembali ke pangkal jalan, bukan dipamerkan,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas cadangan Ahli Parlimen Langkawi Suhaimi Abdullah supaya kerajaan menukarkan aset GISBH di kawasan diwakilinya sebagai muzium ajaran sesat bagi membolehkan orang ramai menjadikannya sebagai pusat rujukan ajaran sesat di dunia.

Shukri menegaskan perkara paling utama ketika ini adalah mewujudkan pusat bimbingan atau pemulihan akidah bagi mendidik pengikut GISBH yang tersalah langkah, kembali ke pangkal jalan.

“Apa yang diperlukan sekarang adalah bimbingan bukan muzium, wujudkan lebih banyak pusat-pusat bimbingan untuk atasi ajaran sesat.

“Kalau tersalah akidah, pulihkan akidah…kalau tersalah syariat, pulihkan syariat…kalau tersalah akhlak, pulihkan akhlak,” katanya.

Sementara itu, Mufti Pahang Asmadi Mohamed Naim berkata menjadi tanggungjawab pihak berwajib menguar-uarkan ajaran sesat menular dalam kalangan masyarakat, namun tidak perlu sehingga menubuhkan sebuah muzium khas.

“Muzium biasanya untuk kita abadikan sesuatu, ajaran sesat bukan nak abadikan tetapi peringatan.

“Kita akui perlu buat hebahan tetapi bukan (dengan mewujudkan) muzium,” katanya yang meminta pihak berkuasa memanfaatkan laman portal di negeri masing-masing untuk membuat hebahan ajaran sesat.

Pada 22 Okt, Ketua Pegawai Eksekutif GISBH Nasiruddin Mohd Ali, 65, bersama 21 pengikutnya didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak 2020.

Turut didakwa isteri Nasiruddin, Azura Md Yusof Hasnan, 57; dan anak bekas pengasas Al Arqam, Asaari Muhammad iaitu Mohammad Adib At-Tamimi, 32.

Ia susulan Op Global dilancarkan pihak berkuasa sejak 10 Sept yang menyaksikan polis berjaya menyelamatkan lebih 400 kanak-kanak berusia antara satu hingga 17 tahun dipercayai dieksploitasi di 20 rumah kebajikan antaranya di Selangor dan Negeri Sembilan.

Setakat ini, enam negeri mengisytiharkan ajaran dan amalan pengikut GISBH sebagai sesat dan bercanggah Islam iaitu Perlis, Selangor, Pahang, Melaka, Sabah dan Pulau Pinang.

Tindakan itu dibuat kerana pengikutnya meneruskan kepercayaan Al-Arqam dan mempercayai bahawa Asaari Muhammad tidak mati.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.