
Katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah menyemak perkara itu semasa proses pemilihan dan memastikan pematuhan kepada syarat pegangan saham, terutama had ekuiti asing ditetapkan 49% dipatuhi.
“U Mobile juga memaklumkan kepada kami bahawa pemilikan asing akan dikurangkan kepada 20%.
“Dari segi pemilikan asing dan tempatan, keputusan ini (memilih U Mobile) tidak melanggar sebarang syarat yang telah ditetapkan,” katanya di Dewan Rakyat.
Fahmi berkata, pemilihan dilakukan SKMM dibuat secara bebas dan ‘menteri atau timbalan menteri tidak terbabit dalam sebarang proses penilaian’.
Beliau menjawab soalan Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) yang bertanya sama ada pemilihan U Mobile sebagai penyedia rangkaian 5G kedua dipengaruhi oleh ‘individu tertentu dalam syarikat tersebut’ tanpa menyebut sebarang nama.
Terdahulu, Fahmi menjelaskan bahawa keperluan am pegangan ekuiti asing bagi lesen individu untuk penyedia kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian adalah maksimum 49%, dengan pemilikan Bumiputera diwajibkan sekurangnya 30%.
“Ketika ini, pegangan ekuiti asing di dalam U Mobile adalah masih di dalam lingkungan pematuhan syarat khas lesen yang dikeluarkan kepada syarikat itu,” katanya.
Beliau juga berkata, keputusan memilih U Mobile sebagai penyedia rangkaian 5G kedua tidak melanggar syarat khas lesen yang ditetapkan untuk syarikat itu.
Hassan bertanya sama ada pemilihan U Mobile sebagai penyedia rangkaian 5G kedua melanggar syarat lesen kerana pemegang saham terbesar syarikat tersebut adalah firma Singapura, Straits Mobile Investments Pte Ltd.
Tiada konflik kepentingan
Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) turut bertanya sama ada terdapat sebarang konflik kepentingan kerana U Mobile memiliki pegangan dalam Digital Nasional Bhd (DNB), yang melancarkan dan mengurus rangkaian 5G pertama negara.
Fahmi menjelaskan, SKMM meneliti semua faktor yang terlibat, termasuk pengurusan, pegangan saham, dan tadbir urus korporat syarikat itu, dan mendapati tiada pelanggaran dalam aspek tersebut.
“U Mobile juga berkomunikasi dengan DNB untuk memastikan pengguna tidak akan menghadapi masalah dalam mengakses perkhidmatan 5G.
“Jika kedua-dua rangkaian mengejar matlamat bersama untuk membina rangkaian yang mampan dan berdaya saing, orang awam dan perniagaan akan mendapat manfaat,” katanya.