
Pengerusinya, Mas Ermieyati Samsudin, berkata jika kerajaan memutuskan untuk mengekalkan MPN sebagai Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG), MPN perlu diletakkan bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berdasarkan fungsi dan peranannya.
Katanya, lanjutan syor dibuat PAC itu JPM perlu memaklumkan kepada PAC perkembangan keputusan kerajaan sama ada MPN kekal sebagai agensi CLBG atau sebaliknya, dalam prosiding tindakan susulan.
“MPN perlu membuat tindakan pembetulan dengan mendapatkan kelulusan daripada menteri yang bertanggungjawab berhubung isu penggunaan peruntukan tahun 2022 yang digunakan untuk pembayaran bagi 2018 hingga 2021,” katanya dalam kenyataan.
Laporan Ketua Audit Negara 2/2024 mendapati dua ahli lembaga pemegang amanah tidak mengisytihar kepentingan sebagai pemilik saham kepada dua syarikat persendirian selaras dengan Akta Syarikat, dan berlaku penyalahgunaan dana MPN bagi pembiayaan operasi kepada dua syarikat tersebut berjumlah RM373,516.
Menurut laporan itu lagi, pembayaran elaun tetap pengerusi dan timbalan pengerusi MPN berjumlah RM207,000 juga dibuat tanpa kelulusan menteri yang dipertanggungjawabkan.
MPN ditubuhkan pada 2010 bagi menggerakkan kepakaran tenaga akademik berpengalaman untuk membantu kerajaan dalam agenda pembangunan negara dan diletakkan bawah Kementerian Pendidikan Tinggi.
Empat tahun kemudian organisasi itu dipindahkan ke JPM sebelum diperbadankan bawah Akta Syarikat sebagai sebuah syarikat berhad menurut jaminan.
Pada 29 Mei 2019, kerajaan Pakatan Harapan (PH) bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad mengeluarkan badan pemikir itu daripada JPM.
Bagaimanapun, pada 8 Nov 2021 kerajaan mengumumkan MPN kembali diiktiraf sebagai agensi bawah JPM.
PAC mula prosiding kerugian pelaburan FashionValet
Dalam perkembangan lain, Mas Ermieyati berkata PAC akan memulakan prosiding berhubung kerugian pelaburan oleh Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam FashionValet Sdn Bhd, milik pasangan Vivy Yusof dan Fadzaruddin Shah Anuar, pertengahan bulan depan.
Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan membekukan beberapa akaun persendirian dan syarikat berjumlah RM1.1 juta milik suami isteri itu menerusi Op Favish.
Ia melibatkan kira-kira 11 akaun persendirian dan enam akaun syarikat bawah seliaan pasangan itu, selepas media melaporkan kerugian pelaburan dana awam berjumlah RM43.9 juta.