Lantik pengerusi lembaga pengarah UiTM baharu tiada kaitan kes CBT Raduan

Lantik pengerusi lembaga pengarah UiTM baharu tiada kaitan kes CBT Raduan

Menteri pendidikan tinggi berkata penukaran Raduan Che Ros adalah proses penggantian biasa.

Raduan Che Rose yang juga presiden Majlis Profesor Negara mohon dibicarakan atas tujuh pertuduhan melakukan pecah amanah. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Langkah menggantikan Raduan Che Rose dengan Mohd Khamil Jamil sebagai pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) tiada kaitan dengan pendakwaan di mahkamah membabitkan Raduan pada Ogos lalu, kata Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata, langkah itu merupakan proses penggantian biasa.

“Apabila tiba masanya seseorang pergi (tamat tempoh berkhidmat), mereka akan pergi dan kemudian kita perlu mencari pengganti. Itu adalah perkara biasa untuk sebarang proses penggantian,” katanya kepada pemberita selepas Dialog Meja Bulat Naib Canselor Amerika Syarikat-Malaysia: Kerjasama dalam Pendidikan Tinggi 2024.

Selasa lalu, Kementerian Pendidikan Tinggi mengumumkan Khamil yang juga bekas pengarah urusan Kumpulan DRB-Hicom Berhad dilantik menggantikan Raduan sebagai pengerusi Lembaga Pengarah UiTM berkuat kuasa hingga 3 Nov 2027.

Raduan, 64, yang juga presiden Majlis Profesor Negara (MPN) didakwa atas tujuh pertuduhan pecah amanah (CBT) membabitkan RM271,000 daripada dana majlis itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.