KP Kastam nafi jumpa ketua SPRM di Genting Highlands

KP Kastam nafi jumpa ketua SPRM di Genting Highlands

Ketua Pengarah Kastam Anis Rizana Mohd Zainudin berkata sebaliknya, sebuah persidangan integriti berlangsung di Genting Highlands antara 6-8 Nov.

anis rizana
Ketua Pengarah Kastam Anis Rizana Mohd Zainudin menyeru agar sebarang kekeliruan atau spekulasi tidak berasas berhubung perjumpaan dengan ketua SPRM dihentikan serta-merta. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Jabatan Kastam menafikan adanya perjumpaan antara ketua pengarahnya dan pengarah lain bersama ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Genting Highlands pada 6 hingga 8 Nov ini, seperti yang tular di media sosial.

Ketua Pengarah Kastam Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, pada tarikh itu, Persidangan Integriti Jabatan Kastam Se-Malaysia 2024 anjuran Cawangan Integriti sedang berlangsung, dihadiri oleh pengarah-pengarah serta warga Kastam di sebuah hotel di Genting Highlands.

Katanya, persidangan bertemakan ‘Integriti Aspirasi Kastam Bermaruah’ yang dirasmikan pagi tadi itu bertujuan membudayakan amalan integriti dalam kalangan pegawai Kastam di seluruh negara, serta memperkukuhkan nilai murni yang akan menjadi asas perkhidmatan telus dan berwibawa.

“Diharapkan dengan penjelasan ini, sebarang kekeliruan atau spekulasi yang tidak berasas dapat dihentikan serta-merta,” katanya.

“Jabatan Kastam menyeru orang ramai agar lebih berhati-hati dan prihatin dengan membuat semakan dan pengesahan terlebih dahulu daripada sumber rasmi mengenai apa-apa maklumat yang diterima.”

Sementara itu, Anis Rizana berkata, persidangan selama tiga hari itu dianjurkan bagi memberi ruang kepada pegawai Kastam untuk membincangkan isu semasa serta cabaran dalam memperkukuhkan integriti selaras dengan nilai Cekap, Tangkas dan Berintegriti (CTI) dalam menjalankan tanggungjawab.

“Inisiatif ini dilaksanakan selaras dengan Pelan Strategik Jabatan Kastam 2020-2024 bawah Cawangan Integriti. Sejak 2017, Persidangan Integriti Se-Malaysia itu menjadi acara tahunan yang diadakan bersempena Hari Integriti Nasional,” katanya.

Anis Rizana berkata, pengisian persidangan itu merangkumi forum dan pembentangan kertas kerja oleh ahli panel polis, Jabatan Kastam, SPRM dan Jabatan Imigresen berkenaan budaya integriti dalam penguatkuasaan undang-undang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.