
Pakar ekonomi, Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway berkata, ini akan memastikan sebarang risiko ditangani lebih baik, manakala rakan sejawatannya di Bank Muamalat Malaysia, Afzanizam Rashid percaya ini juga akan membantu meningkatkan kepercayaan.
Mereka mengulas kerugian dialami dana kekayaan berdaulat, Khazanah dan syarikat pengurusan pelaburan PNB dalam syarikat fesyen dalam talian, FashionValet Sdn Bhd.
Dalam jawapan bertulis di Parlimen pada 29 Okt lalu, Kementerian Kewangan mendedahkan Khazanah dan PNB mengalami kerugian RM43.9 juta daripada penjualan pegangan mereka dalam FashionValet. Ini membawa kepada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pada 2018, Khazanah membayar RM27 juta, manakala PNB sebanyak RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.
Kedua-duanya menjual kepentingan dalam syarikat itu kepada NXBT Partners, syarikat pegangan pelaburan dikawal CEO TIME dotCom Bhd Afzal Abdul Rahim, untuk RM3.1 juta pada hujung tahun lalu.
Laporan kewangan difailkan mendedahkan FashionValet mengalami kerugian dari 2017 hingga 2022.
Khazanah dan PNB berkata, kerugian itu kecil berbanding keseluruhan portfolio mereka, tetapi ia mencetuskan debat umum mengenai keberkesanan strategi pelaburan serta proses pengurusan risiko mereka.
Yeah berkata, Khazanah dan PNB patut mempertimbangkan pelantikan lebih ramai pakar atau mengagihkan tanggungjawab pelaburan urus niaga kepada pengurus profesional cukup berkemampuan untuk menangani risiko, khususnya berkaitan syarikat permulaan dan perniagaan kecil.
“Walaupun kerugian dialami nampak kecil berbanding saiz dana, apa yang membimbangkan adalah kerugian ini mungkin akibat kekurangan kepakaran, tidak cukup usaha wajar dilakukan atau kesilapan dalam menguruskan pelaburan,” katanya kepada FMT.
Afzanizam berkata, Khazanah dan PNB patut berkongsi butiran jawatankuasa dan pasukan penyelidikan terlibat proses membuat keputusan berhubung pelaburan serta bagaimana pelaburan berkenaan dipantau.
“Menjelaskan proses ini kepada umum dapat membina kepercayaan dan menunjukkan mereka berhati-hati dalam membuat keputusan,” katanya.
Afzanizam mengakui tidak semua pelaburan pasti berjaya, tetapi menegaskan perlunya proses jelas dan tersusun untuk mengurangkan kerugian.
Katanya, berkongsi sedikit proses itu tanpa mendedahkan sepenuhnya dapat meyakinkan umum bahawa dana berkenaan diurus secara bertanggungjawab.
Yeah berkata, Khazanah dan PNB patut melihat dana global di negara lain seperti Norway serta New Zealand untuk mendapat panduan cara menangani keadaan sama.
“Menggunakan beberapa amalan daripada Prinsip Santiago yang mempromosikan ketelusan dan tadbir urus baik dapat meningkatkan kepercayaan awam,” katanya merujuk garis panduan tadbir urus untuk dana kekayaan berdaulat yang disediakan Forum Dana Kekayaan Berdaulat Antarabangsa.
Bagaimanapun, Yeah berkata, langkah tegas seperti potongan gaji dilaksanakan Temasek, dana kekayaan berdaulat Singapura susulan kerugian dialami dengan FTX, tidak perlu dilakukan jika Khazanah dan PNB terus menunjukkan prestasi baik secara keseluruhan.
“Mungkin keterlaluan untuk memotong gaji bagi kerugian kecil, sekalipun penelitian umum berkemungkinan besar mendesak mereka lebih berhati-hati pada masa depan,” katanya.