Kenderaan angkut kereta perisai terbalik

Kenderaan angkut kereta perisai terbalik

Nahas di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak mengakibatkan aset tentera itu rosak.

Panglima Angkatan Tentera Mohammad Ab Rahman, berkata punca kemalangan kenderaan pengangkut kereta perisai masih dalam siasatan.
PETALING JAYA:
Sebuah kenderaan pengangkut kereta perisai (KPKP) milik tentera terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), petang tadi.

Panglima Angkatan Tentera Mohammad Ab Rahman, berkata kenderaan membawa muatan dua kereta perisai ‘Adnan’ daripada pasukan berpangkalan di Mentakab, Pahang, terbalik akibat nahas itu.

Beliau berkata, dalam kejadian pada 4.48 petang, kenderaan berkenaan dalam perjalanan ke Gemas, Negeri Sembilan untuk tujuan latihan.

“Punca kemalangan masih dalam siasatan. Namun, tiada kecederaan kepada anggota mahupun orang awam dilaporkan. KPKP mengalami kerosakan,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi catatan di Facebook memaklumkan kemalangan berlaku di KM35.2 arah Barat dari Genting Sempah ke Gombak.

Jurucakap LLM, berkata kedua-dua lorong kanan arah barat dan timur terhalang akibat kemalangan itu.

“Keadaan terkini setakat 8 malam, terdapat kesesakan lalu lintas sejauh tiga kilometer di lorong kanan arah barat manakala di lorong kanan arah timur pula kesesakan sepanjang satu kilometer. Ini susulan kerja-kerja pembersihan dan pengalihan treler sedang giat dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya akan menubuhkan lembaga siasatan bagi menyiasat punca sebenar kemalangan berkenaan.

“Kenderaan tersebut dalam perjalanan secara konvoi sebanyak enam KPKP yang membawa 12 kereta perisai ADNAN dari Kem Batu 10, Kuantan menuju ke Kem Syed Sirajuddin, Gemas untuk Latihan Peningkatan Tempur (LPT).

“Melalui laporan awal, kemalangan disebabkan KPKP cuba mengelak sebuah trailer awam yang menukar haluan dan masuk ke lorong kanan secara tiba-tiba. Akibat keadaan jalan yang licin kerana hujan, KPKP telah hilang kawalan dan seterusnya terbabas ke jalan bertentangan,” menurut kenyataan itu.

TDM memaklumkan kerosakan adalah keseluruhan bahagian prime mover KPKP manakala tiada kerosakan pada kereta perisai ADNAN dan pemandu KPKP tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kenderaan lain yang berada di dalam konvoi telah meneruskan perjalanan ke Kem Perdana Sungai Besi. TDM telah menggerakkan sebuah kenderaan kembalik dari pasukan Rejimen Pertama Kor Armor Diraja dari Kem Batu 10, Kuantan dan sebuah KPKP dari Kem Perdana Sungai Besi ke lokasi kemalangan.

“Ia bertujuan membuat penarikan KPKP dan pengambilan dua buah kereta perisai ADNAN yang terlibat kemalangan ke pasukan bagi tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.