Felo ‘tak setuju’ MPN bawah KPT, had fungsi badan pemikir bebas

Felo ‘tak setuju’ MPN bawah KPT, had fungsi badan pemikir bebas

Azmi Hassan berkata tidak wajar institusi terbabit dihukum hanya kerana kesalahan membabitkan 'satu dua individu'.

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan Majlis Profesor Negara (MPN) diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi jika ingin dikekalkan sebagai Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG). (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang Felo Majlis Profesor Negara (MPN) menolak syor organisasi itu diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menurutnya akan mengehadkan peranannya sebagai badan pemikir bebas.

Mengulas syor Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) itu, Azmi Hassan berkata tidak wajar institusi terbabit dihukum hanya kerana kesalahan membabitkan ‘satu dua individu’ di dalamnya tanpa melihat kepada skop serta sumbangannya untuk jangka panjang.

“Tidak perlu KPT ambil alih kerana MPN badan pemikir bebas walaupun mendapat bantuan daripada kerajaan, tetapi konsepnya sebagai badan pemikir bebas.

“Jika KPT ambil alih (bermakna) ia di bawah naungan kerajaan, tidak boleh dianggap sebagai pemikir (bebas),” kata pakar dalam bidang geostrategis dan politik itu kepada FMT.

Terdahulu, PAC mengesyorkan Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengkaji semula penubuhan MPN susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 mendapati berlaku penyalahgunaan dana oleh ahli lembaga pemegang amanahnya.

Pengerusinya Mas Ermieyati Samsudin berkata jika kerajaan memutuskan untuk mengekalkan MPN sebagai Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG), MPN perlu diletakkan bawah KPT berdasarkan peranannya.

Mengulas lanjut, Azmi berkata fungsi MPN sama seperti badan pemikir bebas lain seperti Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) dan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia yang terdiri daripada profesor dalam pelbagai bidang dan kepakaran masing-masing.

“Jadi saya tak nampak mengapa ia perlu diambil (oleh KPT). Jika kesilapan hanya kerana seorang, tidak perlu dihukum satu organisasi itu.

“Saya tidak bersetuju diletak di bawah KPT,” katanya yang berpandangan MPN wajar bergerak bebas seperti kini.

Dibentangkan Julai lalu, LKAN 2/2024 mendapati dua ahli lembaga pemegang amanah MPN tidak mengisytihar kepentingan sebagai pemilik saham kepada dua syarikat persendirian selaras dengan Akta Syarikat dan salah guna dana pembiayaan operasi kepada syarikat berjumlah RM373,516.

Menurut laporan itu lagi, pembayaran elaun tetap pengerusi dan timbalan pengerusi MPN berjumlah RM207,000 juga dibuat tanpa kelulusan menteri yang dipertanggungjawabkan.

Sementara itu, Presiden MPN Raduan Che Rose memberitahu FMT pihaknya akan memutuskan ‘langkah seterusnya’ selepas kerajaan sudah membuat keputusan berhubung ‘nasib’ badan pemikir itu.

“Biarlah mereka (kerajaan) buat keputusan… ia di luar kawalan kami.

“Kita nak lihat juga apa keputusan kerajaan, kemudian putuskan dari situ,” katanya mengulas syor PAC berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.