Diam bukan pilihan, kerajaan diberitahu berkait permintaan ekstradisi Bangladesh

Diam bukan pilihan, kerajaan diberitahu berkait permintaan ekstradisi Bangladesh

Charles Santiago berkata permintaan ekstradisi Bangladesh itu menjadikan isu buruh paksa dan pemerdagangan manusia di negara ini ke tahap lebih serius.

Charles Anthony Santiago
Kerajaan mesti bertindak terhadap permintaan Bangladesh untuk mengekstradisi Aminul Islam dan Ruhul Amin serta menggantung penggunaan perisian komputer yang digunakan dalam pengambilan pekerja asing, kata Charles Santiago.
PETALING JAYA:
Seorang bekas Ahli Parlimen menggesa kerajaan segera bertindak ke atas permintaan Bangladesh agar dua ahli perniagaan diekstradisi untuk membantu siasatan terhadap dakwaan pengubahan wang haram, pemerasan, dan pemerdagangan manusia.

Charles Santiago dari DAP berkata isu buruh paksa dan pemerdagangan manusia menjadi isu besar di Malaysia, namun permohonan Bangladesh bagi ekstradisi Aminul Islam dan Ruhul Amin ‘membawa isu ini ke tahap yang lebih serius’.

“Masalah ini muncul lagi dan kita tidak boleh terus abaikan. Masalah ini mesti diselesaikan sama sekali. Mereka (Aminul dan Ruhul) dituduh dengan pengubahan wang haram dan pemerdagangan manusia, iaitu kesalahan serius menurut undang-undang kita sendiri.

“Semua orang sedang memerhatikan tindakan kerajaan. Berdiam diri bukan pilihan. Isu ini banyak kali dibangkitkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan masyarakat sivil di sini serta di Bangladesh.

“Jika kita tidak bertindak, kita akan dilihat sebagai sebahagian daripada masalah itu,” kata pengerusi bersama Ahli Parlimen Asean untuk Hak Asasi Manusia itu kepada FMT.

Aminul dan Ruhul didakwa memainkan peranan penting dalam sistem yang didakwa terlibat ‘memeras wang secara curang’ daripada mangsa, lapor Bloomberg.

Pada 24 Okt, cawangan Interpol Bangladesh menulis kepada rakan sejawatnya di Malaysia bahawa kedua-duanya didakwa mendedahkan mangsa mereka kepada penyiksaan fizikal dan mental. Aminul dan Ruhul menafikan tuduhan tersebut.

Polis Bangladesh turut meminta Putrajaya menghentikan sementara penggunaan perisian komputer yang dibekalkan oleh Bestinet Sdn Bhd, syarikat yang dikaitkan dengan Aminul, kelahiran Bangladesh yang kini warga Malaysia.

Santiago sebelum ini berulang kali menggesa kerajaan untuk menggugurkan Bestinet daripada proses pengambilan pekerja asing. Kontrak syarikat itu selama enam tahun bagi membangunkan dan menyelenggara Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) baru-baru ini dilanjutkan.

Pada Julai, PAC mendedahkan bahawa Bestinet mempunyai 24 pengguna tidak sah pada FWCMS yang terlibat dalam meluluskan permohonan pengambilan pekerja asing. Laporan Ketua Audit Negara 2022 turut mendapati bahawa tiada perjanjian ditandatangani antara kerajaan dan Bestinet bagi pembekalan sistem tersebut.

Adrian Pereira.

Sementara itu, aktivis hak migran Adrian Pereira pula berkata pengambilan pekerja Bangladesh ke Malaysia telah lama dipenuhi dengan tanda amaran, termasuk pemerdagangan manusia, yang semakin kronik dari masa ke masa.

Pengarah eksekutif Inisiatif Utara-Selatan itu berharap Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerima permintaan ekstradisi Dhaka untuk membolehkan siasatan diadakan oleh kerajaan baharu negara itu yang diketuai Muhammad Yunus.

“Kami menggesa siasatan yang telus dan bebas oleh pakar di lapangan terhadap tuduhan yang dibuat oleh pentadbiran Yunus. Kami berharap perdana menteri tidak akan melindungi sesiapa yang terlibat dalam tuduhan tersebut.

“Pakar seperti Bank Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia boleh bertukar maklumat dengan rakan mereka di Bangladesh bagi mengenal pasti pelaku yang terlibat,” katanya.

Pada Mei, Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi, Pertubuhan Buruh Antarabangsa, dan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Dadah dan Jenayah menyuarakan kebimbangan terhadap nasib ramai warga Bangladesh yang ditipu datang ke Malaysia untuk pekerjaan yang tidak wujud.

Tiga badan itu memetik laporan mengenai majikan dan ejen yang menempatkan pekerja migran di asrama yang sesak, apartmen atau gudang dengan kemudahan tidak bersih, akses terhad kepada makanan, tanpa komunikasi dengan dunia luar serta perkhidmatan kesihatan, dan dokumen perjalanan serta pengenalan diri mereka turut dirampas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.