
Timbalan Menteri Adly Zahari berkata antara penambahbaikan yang dilakukan ialah kawalan keselamatan dengan meningkatkan jumlah warden yang menjaga pelajar.
“Kita tidak menerima kes buli yang berlaku dalam institusi pengajian tinggi dan kita tahu bahawa ia (buli) boleh berlaku antara pelajar dengan pelajar atau antara pelajar dengan pihak lain, tetapi kalau kita lihat dalam kes-kes sebelum ini, ia berlaku antara pelajar dengan pelajar.
“Jadi, di peringkat Kementerian Pertahanan, kita telah bincangkan dari awal lagi dalam kes sebelumnya bahawa, kita perlu tingkatkan hubungan antara warden dan pelajar dengan menambah bilangan warden,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Pertandingan e-Sukan Sekolah Dalam Kem Angkatan Tentera Malaysia, di Sekolah Menengah Kem Terendak.
Adly berkata kementerian tidak akan bertolak ansur dengan sebarang insiden buli yang berlaku di UPNM dan tindakan sewajarnya akan diambil mengikut peraturan.
Beliau berkata sekiranya terdapat laporan polis, ruang kerjasama akan diberikan sepenuhnya bagi membantu siasatan.
Tentera dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan sedang menyiasat kes seorang pegawai kadet ALK-UPNM yang dibuli senior menggunakan seterika yang ditekap pada bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur seperti yang tular dalam media sosial.
Difahamkan perbuatan itu terbongkar selepas pemeriksaan berkala dijalankan jurulatih bertugas ketika itu, selepas menyedari kesan kecederaan pada tubuh mangsa.