Asean mesti kerjasama selesai pertikaian Laut China Selatan, kata Anwar

Asean mesti kerjasama selesai pertikaian Laut China Selatan, kata Anwar

Perdana menteri berkata naratif bahawa China agresif dan cenderung konfrontasi dibawa ‘kapitalis Barat’.

ANWAR IBRAHIM
Anwar Ibrahim berkata Malaysia lebih senang menggunakan ‘mekanisme dua hala, pelbagai hala dan Asean’ untuk mendamaikan perselisihan dengan China berhubung isu tuntutan kedaulatan Laut China Selatan.
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Asean mesti bekerjasama melawan tuntutan China terhadap kedaulatan ke atas Laut China Selatan dengan mekanisme sudah tersedia untuk menyelesaikan pertikaian sedemikian selain konfrontasi.

Beliau berkata, Malaysia lebih menyenangi penggunaan ‘mekanisme dua hala, pelbagai hala dan Asean’ untuk mendamaikan perselisihan dengan China berhubung isu itu.

“Kita bincang. Kita nyatakan kebimbangan kita. Kita galakkan rakan Asean untuk buat perkara sama,” kata Anwar dalam wawancara eksklusif dengan FMT.

Membidas sebarang percubaan menggambarkan China sebagai agresif dan cenderung ke arah konfrontasi, perdana menteri berkata, naratif sedemikian lazim datang daripada ‘kapitalis Barat’.

“Kita kini bersahabat baik dengan China. Kita juga kekalkan hubungan yang sangat baik dengan Amerika Syarikat. Ini boleh dilihat dalam pelaburan besar (syarikat AS) di Malaysia,” katanya.

Mengikut peta sembilan garis putusnya yang menimbulkan kontroversi, China berusaha menuntut kawasan maritim dalam zon ekonomi eksklusif 200 batu nautika (370km) Vietnam, Filipina, Malaysia dan Indonesia.

Malaysia kekal teguh membantah tuntutan ini, tetapi menggunakan pendekatan lebih lembut berbanding beberapa negara jiran serantau lain.

Anwar bertegas bahawa penyertaan Malaysia sebagai negara rakan kongsi BRICS baru-baru ini tidak akan melemahkan keupayaan negara melawan tuntutan China ke atas perairan Malaysia.

Beliau berkata, pertikaian antara negara bukan perkara asing, tetapi ia tidak menjejaskan hubungan diplomatik secara keseluruhan.

“Kita ada masalah, seperti kebanyakan negara ada masalah dengan negara jiran mereka. Kita hadapi masalah dengan Thailand, Singapura, Brunei dan Indonesia. Namun, masalah ini sama sekali tidak menjejaskan ikatan, persahabatan dan kerjasama kukuh (antara) kita,” katanya.

Pertingkat perdagangan Asean

Dengan Malaysia mengambil alih kepengerusian Asean tahun depan, Anwar berkata, salah satu keutamaannya adalah mengukuhkan kerjasama perdagangan dan ekonomi dalam kalangan 10 negara anggota kumpulan serantau ini.

“Asean ialah rantau yang agak menakjubkan dari segi mengekalkan keamanan dan menjadi satu kumpulan bertumpu yang digeruni, tetapi lemah (dari segi) kerjasama ekonomi dan usaha bersama sebagai suatu kuasa ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan serantau ini harus meraih inspirasi daripada kejayaannya dalam pelbagai inisiatif terdahulu, termasuk Grid Kuasa Asean, yang telah mengukuhkan kerjasama rentas sempadan dalam pengeluaran dan pengagihan tenaga bersih.

Pada 2022, fasa pertama Projek Integrasi Tenaga Laos-Thailand-Malaysia-Singapura menyaksikan sehingga 100 megawatt kuasa hidro diimport dari Laos ke Singapura melalui Thailand dan Malaysia menggunakan kabel penyambung sedia ada.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.