
Ketua Polis Kajang, Naazron Abdul Yusof, berkata semua suspek termasuk dua wanita berusia 28 hingga 45 tahun itu ditahan antara 1 tengah hari hingga 6.30 petang di kawasan Bandar Teknologi dan Semenyih.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas sebilah pisau serta pakaian daripada seorang suspek lelaki.
“Laporan penemuan mayat wanita itu diterima melalui panggilan seorang lelaki tempatan 52 tahun pada 1.09 pagi memaklumkan mangsa 40 tahun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah, dipercayai dibunuh dalam biliknya.
“Hasil siasatan polis di tempat kejadian menemui mangsa, yang disahkan meninggal dunia, dengan 12 kesan tikaman di seluruh badan diselimuti tilam toto dalam bilik sewa,” katanya dalam kenyataan.
Naazron berkata, maklumat saksi, iaitu jiran yang turut menyewa di bilik lain rumah itu menyatakan terdengar suara mangsa menjerit meminta tolong sebelum suspek disyaki lelaki melarikan diri dengan memegang sebilah pisau turun dari bangunan rumah sewa berkenaan.
“Hasil bedah siasat pakar patologi Hospital Serdang pada 10 pagi mengesahkan mangsa mengalami kecederaan akibat tikaman benda tajam di abdomen sehingga menyebabkan kehilangan darah yang banyak.
“Punca kejadian dipercayai akibat cemburu. Semua suspek akan direman hari ini bagi membantu siasatan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kes itu menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat Mohamad Hafeez Hamzah di talian 019-6556 536.