6 anggota Malbatt cedera dalam serangan di Lubnan

6 anggota Malbatt cedera dalam serangan di Lubnan

Letupan menyasarkan sebuah kenderaan awam lain namun turut mengakibatkan kerosakan pada bas membawa anggota Malbatt.

Pasukan Malbatt 850-12 berlepas ke Lubnan dari Pangkalan Udara Subang pada Rabu, ditugaskan dalam misi keamanan bawah PBB di negara itu.
PETALING JAYA:
Enam anggota Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) cedera dalam satu kejadian letupan berdekatan Stadium Saida di Lubnan.

Perkara itu disahkan oleh pihak tentera yang memaklumkan kejadian berlaku pada Khamis, kira-kira 1.54 tengah hari waktu Lubnan (7.54 malam waktu Malaysia) ketika anggota Malbatt 850-12 bergerak dari Beirut ke Kem Marakah.

“Letupan tersebut menyasarkan sebuah kenderaan awam lain yang sedang menghala ke Beirut namun turut mengakibatkan kerosakan pada sebuah bas yang membawa anggota Malbatt 850-12.

“Akibat kejadian tersebut, seramai enam orang anggota Malbatt 850 mengalami kecederaan, iaitu lima anggota Malbatt 850-12 … dan seorang lagi anggota Malbatt 850-11,” kata pihak tentera dalam kenyataan.

Anggota yang cedera dibawa ke Hospital Hamood di Saida untuk mendapatkan rawatan oleh pegawai perubatan Malbatt 850-11, menurut kenyataan itu.

Tentera berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan situasi ini dengan rapi dan akan memaklumkan sebarang kemas kini dari semasa ke semasa.

“(Pihak tentera) kekal komited terhadap tahap keselamatan dan kesejahteraan anggota dalam melaksanakan misi pengaman bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).”

Pasukan Malbatt 850-12 berlepas ke Lubnan dari Pangkalan Udara Subang pada Rabu, ditugaskan dalam misi keamanan bawah PBB di negara itu.

Terdahulu, Reuters melaporkan, satu serangan Israel di Sidon, bandar di selatan Lubnan, mengorbankan tiga warga Lubnan serta beberapa orang askar, termasuk anggota pasukan pengaman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.