Rakyat Malaysia ditahan seludup 100kg dadah dalam komputer ke Australia

Rakyat Malaysia ditahan seludup 100kg dadah dalam komputer ke Australia

Polis Persekutuan Australia berkata kuantiti dadah dirampas itu boleh dijual dalam sejuta urusan jual beli secara haram.

seludup methamphetamine
Dadah seberat 100kg disorok dalam komputer melalui kiriman kargo udara dari Malaysia ke Australia. (Gambar Australian Federal Police)
PETALING JAYA:
Seorang warga Malaysia ditahan Polis Persekutuan Australia (AFP) kerana disyaki terbabit menyeludup 100kg methamphetamine ke negara itu baru-baru ini.

Suspek 45 tahun itu ditahan AFP selepas Pasukan Sempadan Australia (ABF) menemui dadah disembunyi dalam komputer menerusi kargo udara yang tiba dari Malaysia pada 16 Okt lalu.

Menurutnya, ABF mengeluarkan semua dadah itu sebelum kiriman kargo terbabit dilepaskan untuk penghantaran.

“Kiriman dihantar ke unit simpanan di Kingsgrove (selatan Sydney) pada 30 Okt lalu sebelum diambil suspek.

“Lelaki itu ditahan AFP atas kesalahan cuba memiliki dadah kawalan sempadan dalam kuantiti komersial membabitkan 100kg methamphetamine yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 307.5 Kanun Jenayah 1995 (Komanwel).

“Suspek dihadapkan ke Mahkamah Tempatan Pusat Downing pada 31 Okt lalu dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman maksimum penjara seumur hidup,” katanya dalam kenyataan dipetik Berita Harian.

Nilai rampasan itu tidak dinyatakan, tetapi AFP berkata kuantiti dadah dirampas berkenaan boleh dijual dalam sejuta urusan jual beli secara haram.

Pemangku Komander ABF, Matthew O’Connor, berkata sindiket dikesan cuba menggunakan pelbagai kaedah untuk menyeludup dadah ke Australia.

“Bagaimanapun, pegawai kami memiliki keupayaan mengesan dan membendung jenayah daripada terus berleluasa melalui kerjasama dan perkongsian maklumat antara pihak berkuasa tempatan dan persekutuan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.