N Sembilan lulus 2 kawasan lombong NR-REE

N Sembilan lulus 2 kawasan lombong NR-REE

Kelulusan untuk eksplorasi diberikan kepada syarikat tempatan, kata menteri besar.

Aminuddin Harun
Tahun lepas kerajaan Negeri Sembilan lulus SOP bagi perlombongan NR-REE termasuk tidak melibatkan hutan simpan. (Gambar Bernama)
SEREMBAN:
Kerajaan Negeri Sembilan meluluskan dua kawasan berkeluasan kira-kira 400 hektar untuk dijadikan lokasi perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) tidak lama lagi.

Menteri Besar Aminuddin Harun berkata tatacara operasi standard (SOP) berkaitan perlombongan hasil bumi itu dipersetujui setelah beberapa perubahan dilakukan.

“Kita telah mendapat lampu hijau untuk lombong NR-REE… lokasinya akan kita maklumkan kemudian. Kelulusan untuk eksplorasi itu diberikan kepada syarikat tempatan. Ia tidak akan mengambil masa lama selepas itu boleh dibuat (perlombongan).

“Tempoh sebenar untuk dimulakan bergantung kepada peraturan dan SOP serta tindakan dengan Pejabat Tanah dan Galian. Saya tidak tahu (nilai) sebab kena buat eksplorasi dulu, baru tahu nilainya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco.

Beliau berkata dua kawasan perlombongan NR-REE sebelum ini iaitu di Kuala Pilah dan Jelebu dihentikan kerana tidak mematuhi SOP selain syarikat yang menjalankan aktiviti itu turut didenda.

Pada tahun lepas, Aminuddin dilaporkan berkata kerajaan negeri meluluskan SOP bagi perlombongan NR-REE termasuk tidak melibatkan hutan simpan dan semua pembangunan berkaitan mesti mempunyai usaha sama dengan anak syarikat iaitu Menteri Besar Sembilan (Pemerbadanan).

Sementara itu, Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) bagi jajaran Banting, Selangor ke Gelang Patah, Johor bakal memberikan impak ekonomi berganda kepada Negeri Sembilan.

Pelaksanaan WCE juga akan memberi kesan positif dan merancakkan pembangunan di kawasan sepanjang laluan sekali gus memberi kemudahan kepada rakyat selain mengelak kesesakan di Lebuh Raya Utara Selatan.

“WCE penting bagi penyuraian sistem lebuh raya sedia ada, saban minggu kita lihat berlaku kesesakan di kedua-dua arah bermula Jumaat hingga hari minggu. Jika ada WCE akan memudahkan bukan sahaja penduduk di Port Dickson, tetapi Melaka dan Johor jika ingin ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Selain itu, WCE juga memberi manfaat khususnya kepada kawasan pelancongan di Port Dickson, pelancong tempatan dan luar negara juga akan mudah untuk datang melihat sendiri pantai kita,” katanya.

Ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Okt lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan Projek Lebuh Raya WCE Banting-Gelang Patah yang mengguna pakai pendekatan Kerjasama Awam Swasta (PPP), akan diberi keutamaan tahun depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.