
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan tidak seharusnya menetapkan syarat dan keperluan untuk memeterai MoU bagi menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.
“Ahli Parlimen PN sudah menyerahkan kepada ketua pembangkang dan ketua Whip (PN) untuk bincang. Kalau kerajaan kata sudah tutup, kita akur.
“Prinsip kami, kerajaan perlu menyalurkan peruntukan tanpa syarat dan tidak memerlukan MoU,” katanya menurut Berita Harian.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata Perikatan Nasional secara dasarnya akan menyokong jika kerajaan mahu membawa rang undang-undang (RUU) di Parlimen khususnya berkaitan peruntukan kepada wakil rakyat.
“Peranan pembangkang untuk semak dan imbang sudah kami jalankan. Ada pindaan dan RUU kami sokong kerana kebaikan untuk negara dan rakyat juga,” katanya.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata pintu rundingan berhubung MoU itu sudah ditutup dan beliau menyifatkan ia ditolak pembangkang.
Pada 15 Sept lalu, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata Ahli Parlimen PN sebulat suara menolak draf MoU itu.
Beliau yang juga setiausaha agung PN memberi empat sebab fundamental penolakan, antaranya didakwa bertentangan Perlembagaan Persekutuan dengan beberapa syarat dikenakan dikhuatiri menjejaskan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.