Lewat kesan GISBH kerana berselindung aktiviti sah, kata menteri

Lewat kesan GISBH kerana berselindung aktiviti sah, kata menteri

Mohd Na’im Mokhtar berkata proses mengumpul bahan bukti membabitkan kegiatan GISBH perlu dilakukan dengan teliti supaya tindakan boleh disahkan dari sudut perundangan.

rumah amal
Pihak berkuasa melancarkan Op Global pada September lalu yang menyelamatkan lebih 400 kanak-kanak berusia antara satu hingga 17 tahun dipercayai dieksploitasi di 20 rumah kebajikan antaranya di Selangor dan Negeri Sembilan. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Dewan Rakyat diberitahu kelewatan mengesan aktiviti Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) kerana mereka berselindung di sebalik kegiatan sah di sisi undang-undang.

Kumpulan itu didakwa meneruskan amalan sesat dari al-Arqam yang diharamkan pihak berkuasa sejak 1994.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata sebelum tindakan diambil proses mengumpul bahan bukti perlu dilakukan dengan teliti supaya boleh disahkan dari sudut perundangan.

Mohd Na’im Mokhtar.

“Siasatan itu bukan mudah lebih-lebih lagi dalam menangani sesuatu amalan atau ajaran berselindung di sebalik aktiviti lain yang kelihatan benar dan sah di sisi undang-undang.

“Proses ini tentunya tidak sukar sekiranya sesuatu ajaran atau amalan itu jelas dan terang-terangan bercanggah dengan syariat Islam serta amalan itu dapat dibuktikan dengan jelas dan kukuh,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang meminta penjelasan kerajaan yang didakwa lambat mengambil tindakan terhadap kumpulan itu selepas pengharaman Al-Arqam pada 1994.

Na’im berkata sehingga kini dianggarkan seramai 10,500 ahli GISBH dan 9,000 orang daripadanya dipercayai berada dalam negara.

Menurutnya, kerajaan telah menyediakan pelan tindakan pemulihan terhadap ahli GISBH termasuk kanak-kanak yang ditempatkan di pusat penjagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan agensi berkaitan.

“Pelan tindakan pemulihan secara sukarela kepada ahli GISBH yang mengikuti sesi pemulihan secara sukarela juga dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara dan majlis agama Islam negeri,” katanya.

Pada 22 Okt, Ketua Pegawai Eksekutif GISBH Nasiruddin Mohd Ali, 65, bersama 21 pengikutnya didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak 2020.

Turut didakwa isteri Nasiruddin, Azura Md Yusof Hasnan, 57; dan anak bekas pengasas Al Arqam, Asaari Muhammad iaitu Mohammad Adib At-Tamimi, 32.

Ia susulan Op Global dilancarkan pihak berkuasa sejak 10 Sept yang menyaksikan polis berjaya menyelamatkan lebih 400 kanak-kanak berusia antara satu hingga 17 tahun dipercayai dieksploitasi di 20 rumah kebajikan antaranya di Selangor dan Negeri Sembilan.

Setakat ini, enam negeri mengisytiharkan ajaran dan amalan pengikut GISBH sebagai sesat dan bercanggah Islam iaitu Perlis, Selangor, Pahang, Melaka, Sabah dan Pulau Pinang.

Tindakan itu dibuat kerana pengikutnya meneruskan kepercayaan Al-Arqam dan mempercayai bahawa Asaari Muhammad tidak mati.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.