
Hakim persekutuan di San Diego turut memerintahkan Francis, 60, membayar ganti rugi USD20 juta kepada Tentera Laut AS dan keuntungan USD35 juta yang diperolehnya secara haram dirampas, menurut pejabat peguam AS bagi selatan California dalam kenyataan.
Francis, yang mengendalikan syarikat kontrak tentera, Glenn Defense Marine Asia, dari Singapura ditahan pada 2013.
Dia mengaku bersalah memberi rasuah kepada pegawai tentera laut untuk menyerahkan kerja kepada limbungan kapalnya di pelabuhan Asia Pasifik pada 2015 dan kemudian mengenakan bayaran berlebihan kepada tentera laut sehingga USD35 juta.
Menurut dokumen mahkamah, Francis menyerahkan wang tunai lebih USD500,000 dan menyediakan pelacur, perjalanan kelas pertama, penginapan hotel mewah dan hidangan mewah kepada pegawai tentera laut, bersama hadiah mahal seperti beg tangan serta jam tangan berjenama.
Dia yang dijadual dijatuhkan hukuman pada September 2022, bertindak memotong gelang buku lali GPS dipakainya semasa dalam tahanan rumah dan melarikan diri ke Venezuela.
Dia dibawa ke AS dari Venezuela pada Disember 2023 dalam pertukaran tahanan kedua-dua negara.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian rayuan, Francis memberi penyiasat kerajaan maklumat terperinci yang membawa kepada sabitan kesalahan beberapa pegawai Tentera Laut AS berpangkat tinggi.