
Dalam hantaran di Facebook dan X, Anwar berkata, babak baharu ini membawa peluang yang dibaharui dan Malaysia bersedia bergerak ke hadapan dengan kerjasama, optimisme dan matlamat bersama.
“Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan presiden baharu ini bagi meraih manfaat bersama untuk rakyat kedua-dua negara,” katanya.
Anwar menekankan bahawa AS kekal sebagai sumber pelaburan asing terbesar Malaysia dan pemain penting di rantau Asia Pasifik.
Sebagai pengerusi Asean pada 2025, perdana menteri berkata, Malaysia berharap AS akan memberi nafas baharu dalam penglibatannya dengan Asia Tenggara.
“Kami juga menggesa AS menggunakan pengaruhnya yang besar untuk membantu menghentikan keganasan dan kehilangan nyawa yang dahsyat di Palestin dan Ukraine,” katanya.
Trump, 78, yang merupakan calon Republikan, mengisytiharkan kemenangan dalam pilihan raya presiden AS, mengatasi calon Demokrat Kamala Harris.