Gagal serah Black Hawk, kontrak sewaan dengan syarikat tempatan batal

Gagal serah Black Hawk, kontrak sewaan dengan syarikat tempatan batal

Kementerian Pertahanan menghantar notis pembatalan kepada Aerotree Defence and Services kerana tiada helikopter diserahkan setakat akhir Oktober.

Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata, memandangkan tarikh serahan helikopter Black Hawk pada Oktober telah berakhir, pihaknya telah menghantar notis pembatalan kontrak kepada syarikat tempatan berkaitan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata, pihaknya sudah menyerahkan notis pembatalan perolehan Black Hawk susulan kegagalan syarikat yang memenangi kontrak sewaan empat helikopter itu memenuhi tarikh akhir penyerahan 30 Okt lepas.

“Tarikh serahan pada Oktober telah berakhir, jadi kita hantar notis pembatalan,” katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penghantaran Kumpulan Pertama Malbatt 850-12 ke Lubnan di Pangkalan Udara Subang hari ini.

Pada Mei tahun lepas, Kementerian Pertahanan menandatangani kontrak sewaan empat helikopter Black Hawk dengan syarikat tempatan Aerotree Defence and Services selama lima tahun bernilai RM187 juta.

Menurut perjanjian itu, helikopter pertama sepatutnya dihantar pada November 2023 tetapi dilanjutkan kepada April tahun ini.

Ogos lepas, Kementerian Pertahanan mendapat maklum balas daripada Pejabat Peguam Negara berkaitan cadangan pembatalan kontrak sewaan Black Hawk kepada tentera darat.

Susulan perkembangan itu, tempoh kontrak sewaan dilanjutkan hingga Oktober.

Dalam perkembangan lain, Khaled berkata, hasil siasatan berhubung kes buli dan dera melibatkan seorang kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) akan dimuktamadkan pada Jumaat ini.

Beliau berkata, perkara yang dikendalikan lembaga siasatan dianggotai polis dan Akademi Latihan Ketenteraan akan turut membentangkan cadangan garis panduan melibatkan disiplin.

“Saya ada baca (mengenai perkembangan kes itu) daripada laporan media dan kertas siasatan sudah dihantar ke Pejabat Peguam Negara.

“Lembaga siasatan akan muktamadkan Jumaat ini dan membentangkan cadangan mengikut garis panduan melibatkan disiplin,” katanya menambah, pelajar yang terlibat dalam kejadian itu masih meneruskan pengajian seperti biasa.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, kertas siasatan berhubung kes seorang kadet UPNM cedera ditekap seterika oleh senior telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, siasatan pihaknya mendapati tiada unsur dendam dan pergaduhan tersebut, sebaliknya, gurauan secara keterlaluan dipercayai menjadi motif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.