‘Formula’ Muhyiddin mungkin tak manfaatkan Bersatu, kata penganalisis

‘Formula’ Muhyiddin mungkin tak manfaatkan Bersatu, kata penganalisis

Azmil Tayeb berkata, sebarang formula untuk mengelak perbalahan dalam parti tidak berguna, jika parti itu sendiri gagal membuktikan ia alternatif berwibawa berbanding Umno.

ppbm bersatu
Bersatu mesti membuktikan ia mampu berdiri sendiri tanpa bergantung kepada PAS, menurut penganalisis politik Azmil Tayeb.
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis berkata, status quo dicapai dalam pemilihan Bersatu baru-baru ini mungkin tidak akan membawa kepada penyatuan, apabila segelintir ahli dilihat tidak berpuas hati dengan formula Presidennya, Muhyiddin Yassin.

Kelmarin, bekas menteri, Ronald Kiandee, Radzi Jidin dan Ahmad Faizal Azumu dilantik naib presiden Bersatu untuk tempoh 2024-2027.

Kemenangan mereka bererti “formula” Muhyiddin untuk pemilihan parti yang disifatkannya berjaya dilaksanakan dengan “sempurna” dicapai.

Bagaimanapun, Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, sebarang formula untuk menghalang perbalahan dalam parti mungkin sia-sia, jika Bersatu gagal membuktikan kemampuannya.

Katanya, parti menghadapi dua perkara mampu merugikannya – jentera lebih lemah berbanding PAS, iaitu rakannya dalam Perikatan Nasional dan kekurangan dana untuk menjalankan kempen.

“Melainkan mereka dapat menunjukkan apa manfaat yang mampu dibawa parti dan membuktikan ia mampu berdiri sendiri tanpa bergantung kepada PAS, sebarang formula dikemukakan kepimpinan untuk mengelak perbalahan sekadar sia-sia.

“Bersatu juga perlu membuktikan mereka alternatif lebih berwibawa berbanding Umno di kawasan pernah menjadi kubu kuat Umno, yang telah dimenangi Bersatu pada PRU15,” katanya kepada FMT.

Julai lalu, ketika “membocorkan” senarai calon pemilihan parti, Muhyiddin dilaporkan berkata, beliau mengadakan rundingan antara pemimpin parti, atas permintaan parti sendiri untuk mengelak perbalahan.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari USM berkata, sebarang perpecahan dalam Bersatu boleh dikurangkan sekiranya kepimpinan mengambil usaha tegas melibatkan setiap bahagian dalam semua barisan dan tugasan kelak.

Beliau berkata, formula sedemikian patut diguna pakai jika dapat memastikan penyatuan dalam parti, tetapi kepimpinan mesti bersikap terbuka dan berani membuat sebarang perubahan perlu.

Menurutnya, Muhyiddin patut menyatakan trajektori jelas untuk parti, jika beliau bersara atau meletak jawatan.

“Jika berlaku pertandingan untuk kepimpinan parti dalam keadaan itu, elok sekiranya Muhyiddin membiarkan ahli dan perwakilan parti membuat keputusan, bukannya melebihkan satu bahagian berbanding yang lain.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.