Disyaki kemuka nama tak layak terima zakat, timbalan pengerusi masjid pula direman

Disyaki kemuka nama tak layak terima zakat, timbalan pengerusi masjid pula direman

Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin membenarkan reman enam hari sehingga 11 Nov ini ke atas suspek.

suspek tipu zakat
Suspek berusia 50-an dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman hari ini untuk permohonan perintah reman. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang timbalan pengerusi masjid di Terengganu direman enam hari kerana disyaki mengemukakan senarai nama asnaf berstatus miskin yang tidak layak menerima zakat kepada sebuah badan kebajikan swasta.

Suspek berusia 50-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kemaman kira-kira 12.30 tengah hari semalam.

Berita Harian melaporkan suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman hari ini dan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin membenarkan reman ke atasnya sehingga 11 Nov ini.

Menurut sumber, lelaki itu disyaki mengemukakan senarai asnaf berstutus miskin yang mengandungi maklumat palsu kepada badan kebajikan swasta di Kerteh, termasuk nama isterinya bagi mendapatkan zakat.

Semalam, seorang pengerusi masjid sama berusia 50-an direman enam hari kerana disyaki terbabit aktiviti sama.

Sumber dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati pengerusi masjid terbabit melakukan kesalahan itu April lalu dan 50 penerima tersenarai menerima wang zakat RM1,000 seorang.

“Suspek ditahan bersama isterinya yang turut tersenarai antara penerima wang zakat berkenaan, bagaimanapun isterinya dilepaskan dengan jaminan SPRM,” katanya sambil menambah suspek menerima dana zakat itu daripada sebuah syarikat minyak di Terengganu, tempat dia bekerja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.