Sedang runding dengan Ocean Infinity untuk cari MH370, kata Loke

Sedang runding dengan Ocean Infinity untuk cari MH370, kata Loke

Menteri pengangkutan berkata kerajaan mungkin pertimbang cadangan firma UK itu untuk mencari di selatan Lautan Hindi.

ocean infinity
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata kerajaan tetap komited cari MH370, selepas Ocean Infinity cadang pencarian baharu di selatan Lautan Hindi. (Gambar Ocean Infinity)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan sedang berunding dengan Ocean Infinity berhubung cadangan misi baharu pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang 10 tahun lalu.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata kerajaan tetap komited mencari pesawat itu jika terdapat bukti baharu yang kukuh.

Menurutnya, Ocean Infinity yang berpangkalan di United Kingdom mengemukakan cadangan Jun lalu untuk mencari di kawasan selatan Lautan Hindi seluas 15,000km persegi.

Katanya pencarian akan dilakukan mengikut prinsip ‘tidak jumpa, tiada bayaran’, bermakna kerajaan tidak perlu membayar jika tiada serpihan ditemui.

“Pencarian yang dicadangkan Ocean Infinity berdasarkan analisis data terkini. Cadangan pencarian mereka mungkin dipertimbangkan kerajaan sebagai pemilik berdaftar MH370,” katanya di Dewan Rakyat menjawab soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) dan Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) berhubung usaha mengesan MH370.

Kehilangan MH370 kekal menjadi misteri terbesar dalam penerbangan. Pesawat membawa 239 anak kapal dan penumpang itu hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Mei lalu, Loke dilaporkan berkata, misi pencarian baharu Ocean Infinity akan mengambil tiga bulan dan ia bersedia memulakan operasi bulan ini.

Chong kemudian bertanyakan ganjaran USD70 juta yang ditawarkan pada 2018 jika pesawat itu ditemui, tetapi Loke berkata kos pencarian keseluruhan kekal sama dan ini sedang dibincangkan dengan Ocean Infinity.

Loke berkata sebarang perjanjian untuk pencarian baharu memerlukan kelulusan Jemaah Menteri dan ia akan didedahkan sebaik saja diluluskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.