‘Perkara biasa’, Mat Sabu ulas teguran Zahid terhadap Amanah Johor

‘Perkara biasa’, Mat Sabu ulas teguran Zahid terhadap Amanah Johor

Semalam, Presiden Umno Zahid Hamidi menggesa Amanah Johor jangan sibuk berpolitik memandangkan baki penggal DUN masih panjang.

Mohamad Sabu
Mohamad Sabu berkata teguran Zahid Hamidi supaya Amanah Johor tidak sibuk berpolitik selepas mengumumkan sasaran bertanding sebagai ‘perkara biasa’. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Presiden Amanah Mohamad Sabu menyifatkan teguran Zahid Hamidi supaya parti itu di Johor tidak sibuk berpolitik, sebagai ‘perkara biasa’.

Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) memberi peringatan itu selepas Amanah Johor mengumumkan sasarannya untuk bertanding di 20 kerusi DUN pada pilihan raya akan datang.

Mohamad berkata ia adalah perkara biasa dalam mana-mana parti politik yang mana keputusan akhirnya akan ditentukan oleh pimpinan.

“Itu biasalah, orang politik dia berpolitik tapi keputusan akhir akan dibuat oleh pimpinan.

“Itu perkara biasalah dalam mana-mana parti politik,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Kebangsaan Kumpulan Pengguna Air (KpA) 2024, hari ini.

Semalam, Zahid yang juga presiden Umno menggesa Amanah Johor jangan sibuk berpolitik memandangkan baki penggal DUN masih panjang.

Zahid yang juga presiden Umno menegaskan sekarang masa untuk berkhidmat kepada rakyat.

Terdahulu, Amanah Johor mengumumkan sasar tanding 20 daripada 56 kerusi DUN pada pilihan raya akan datang.

Pada PRN Mac 2022, Pakatan Harapan (PH) memperuntukkan 20 kerusi kepada Amanah, yang akhirnya terpaksa berpuas hati dengan hanya satu kerusi apabila pilihan raya selesai.

Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad, berkata keputusan itu diambil sebagai tanda tidak bersetuju dengan kepimpinan BN negeri yang langsung tiada kemahuan untuk membentuk kerajaan perpaduan.

PH dan BN menyahut seruan untuk membentuk kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan pada November 2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.