Kecuali kes rasuah, ubah wang daripada RUU tahanan rumah, kata TI-M

Kecuali kes rasuah, ubah wang daripada RUU tahanan rumah, kata TI-M

Transparency International Malaysia berkata, kegagalan menanganinya akan menjejaskan kerja keras untuk mendakwa penjenayah.

penjara
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dalam ucapan Belanjawan 2025 berkata, kerajaan akan menggubal akta baharu membenarkan tahanan rumah sebagai hukuman alternatif bagi kesalahan tertentu.
PETALING JAYA:
Kes rasuah dan pengubahan wang haram perlu dikecualikan daripada cadangan rang undang-undang (RUU) tahanan rumah tanpa mengira status banduan, kata sebuah kumpulan antirasuah.

Transparency International Malaysia (TI-M) berkata, kerajaan perlu melangkau janji semata-mata dan melaksanakan mekanisme jelas untuk menghalang undang-undang tahanan rumah disalahgunakan demi memanfaatkan VIP dan tahanan terbabit jenayah berat serta kesalahan kepentingan awam.

“Jika banduan kes sebegini dibenar mendapatkan hukuman penjara ditukar kepada tahanan rumah, kerajaan akan dilihat menjejaskan pendakwaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas semua kerja keras yang mereka lakukan untuk membawa penjenayah itu ke muka pengadilan,” kata Presiden TI-M, Muhammad Mohan.

Beliau berkata, pengampunan kesalahan sedemikian berpotensi menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat dan menjejaskan komitmen kerajaan terhadap Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional.

“Ia sudah tentu akan menjejaskan cita-cita kerajaan mencapai kedudukan 25 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah menjelang 2033,” katanya dalam kenyataan.

Bulan lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menerusi ucapan Belanjawan 2025 berkata, kerajaan akan menggubal akta baharu yang membenarkan tahanan rumah sebagai hukuman alternatif bagi kesalahan tertentu.

Di bawah undang-undang cadangan itu, katanya, pesalah dikehendaki berada di lokasi ditetapkan, seperti rumah atau pusat jagaan mereka sepanjang tempoh hukuman.

Jurucakap kerajaan perpaduan, Fahmi Fadzil menegaskan RUU itu tiada kaitan bekas perdana menteri, Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara enam tahun dikurangkan dalam kes SRC International.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail pula berkata, undang-undang cadangan itu bertujuan memberi peluang kedua kepada pesalah dan banduan kali pertama seperti ibu tunggal miskin yang dipenjarakan kerana mencuri susu atas faktor terdesak.

RUU itu diluluskan Jemaah Menteri dan sedang digubal Jabatan Peguam Negara serta Jabatan Penjara. Ia dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.