Kasut, beg tangan tiruan lebih RM3 juta dirampas

Kasut, beg tangan tiruan lebih RM3 juta dirampas

Pasukan Gerakan Am turut menahan pemandu lori disyaki menjadi penghantar untuk menyeludup semua barangan tiruan itu.

beg tangan
Beg tangan dan kasut tiruan pelbagai jenama mewah diseludup dari Thailand yang dirampas di Jalan Ismail Petra, Tanah Merah semalam. (Gambar PGA)
KOTA BHARU:
Polis menumpaskan kegiatan penyeludupan kasut dan beg tangan pelbagai jenama mewah dianggarkan bernilai RM3.1 juta semalam.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid, berkata rampasan dilakukan selepas polis mengesan dan menahan sebuah lori Isuzu pada 1.30 tengah hari di Jalan Ismail Petra, Tanah Merah, dekat sini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas lori itu menemui 9,369 pasang kasut dan 1,866 beg tangan pelbagai jenama yang disyaki diseludup dari Thailand tanpa dokumen sah.

“Semua barangan jenama mewah itu juga disyaki tiruan dan dibawa ke Malaysia untuk pasaran tempatan, manakala pemandu lori ditahan disyaki menjadi penghantar untuk menyeludup semua barangan itu.

“Kes disiasat di bawah Akta Cap Dagang 2019 dan semua barangan rampasan dibawa ke Komtak (Kompeni Taktikal) Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Nik Ros Azhan berkata, PGA merampas 13 ekor lembu dianggarkan bernilai RM175,500 selepas menahan sebuah lori kira-kira 2 pagi di Kampung Machang Gacoh Meranti, Pasir Mas.

Beliau berkata, semua lembu seberat 11,700kg itu dipercayai diseludup dari Thailand tanpa dokumen sah.

“Suspek seorang lelaki berusia 25 tahun dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup haiwan itu ke pasaran tempatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.

“Semua barang rampasan dibawa ke Komtak Jeram Perdah untuk tindakan selanjutnya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.