Jasbant Singh dilantik pengarang urusan Media Prima

Jasbant Singh dilantik pengarang urusan Media Prima

Bekas pengarang urusan FMT itu akan menyelia operasi editorial Rangkaian Televisyen Media Prima dan NSTP dalam peranan baharunya.

jasbant
Wartawan veteran Jasbant Singh berpengalaman lebih 30 tahun di media cetak, televisyen dan portal berita, termasuk saluran media antarabangsa seperti AP dan Al Jazeera.
PETALING JAYA:
Media Prima Bhd mengumumkan pelantikan wartawan veteran Jasbant Singh sebagai pengarang urusan kumpulannya berkuat kuasa 1 Nov, dengan Farrah Naz Abdul Karim sebagai timbalannya.

Jasbant, yang merupakan pengarang urusan FMT selama tiga tahun, akan mengetuai bahagian berita dan hal ehwal semasa Media Prima dalam peranan baharunya, menyelia operasi editorial Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) dan New Straits Times Press Bhd (NSTP).

Pelantikan itu susulan persaraan Ahmad Zaini Kamaruzzaman sebagai pengarang urusan NSTP dan pengarang kumpulan Berita Harian selepas 33 tahun bersama syarikat itu.

Farrah Naz akan meneruskan peranannya sebagai pengarang kumpulan New Straits Times, yang dilantik pada September 2022.

“Integrasi operasi berita kami di bawah satu bahagian bersama pelantikan baharu adalah sebahagian daripada usaha Media Prima untuk meningkatkan kecekapan operasi dan mewujudkan sinergi yang lebih besar bagi memastikan kumpulan mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia berita terkemuka di negara ini.

“Latar belakang Jasbant dan Farrah Naz yang luas dalam kewartawanan adalah aset yang tidak ternilai kepada Media Prima ketika kami terus mengukuhkan saluran media digital, cetak dan penyiaran kami,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Jasbant berpengalaman lebih 30 tahun di media cetak, televisyen dan portal berita, termasuk saluran media antarabangsa seperti AP dan Al Jazeera.

Beliau juga pernah mengetuai bahagian berita TV3 sebelum menjadi timbalan pengurus hal ehwal semasanya. Terbaharu, beliau adalah ketua operasi berita MPTN, menyelia TV3, TV9, 8TV dan DidikTV KPM.

Farrah Naz telah berkhidmat di NSTP menerusi pelbagai jawatan sejak 2000, termasuk sebagai pengarang eksekutif. Beliau adalah penerbit eksekutif di MPTN untuk program hal ehwal semasanya sebelum dilantik pengarang kumpulan New Straits Times.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.