
Aminul Islam dan Ruhul Amin didakwa memainkan peranan penting dalam sistem yang ‘memeras wang secara curang daripada mangsa’, lapor Bloomberg.
Peguam Aminul menafikan sepenuhnya dakwaan yang dibangkitkan dalam surat polis Bangladesh kepada pihak berkuasa Malaysia itu.
Ruhul juga menafikan dakwaan itu, melalui Catharsis International, sebuah firma pengambilan pekerja miliknya di Dhaka. Syarikat itu ‘beroperasi secara beretika dan sah di sisi undang-undang’, tambahnya.
Menurut surat bertarikh 24 Okt daripada cawangan Interpol Bangladesh, yang dihantar kepada pihak berkuasa Malaysia, mangsa didakwa diseksa secara fizikal dan mental.
Bloomberg mengesahkan kandungan surat itu dengan cawangan Interpol Bangladesh dan pegawai kanan kerajaan Bangladesh.
Polis Bangladesh juga meminta Putrajaya menghentikan sementara penggunaan perisian Bestinet Sdn Bhd, sebuah syarikat dikaitkan dengan Aminul, yang dilahirkan di Bangladesh tetapi diberikan kewarganegaraan Malaysia.
Seorang wakil Bestinet memberitahu saluran berita itu, pihaknya tidak maklum tentang surat polis Bangladesh itu, termasuk permintaan supaya pihak berkuasa Malaysia berhenti menggunakan perisiannya, namun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
Bloomberg turut menghubungi polis Malaysia, serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Luar untuk mendapatkan komen tetapi masih belum memperolehnya, manakala Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) enggan mengulas.
Ashiqur Rahman, yang bertugas di cawangan Interpol Bangladesh berkata, kedua-dua individu tersebut kali terakhir dilihat di Kuala Lumpur.
Katanya, pihak berkuasa Malaysia telah menjawab surat itu dengan meminta polis Bangladesh mengemukakan permintaan rasmi untuk ekstradisi, dan pihaknya sedang menyediakan dokumen berkaitan.