Wanita didenda RM2,500 bunuh lelaki tanpa niat

Wanita didenda RM2,500 bunuh lelaki tanpa niat

Menurut fakta kes tertuduh dan seorang lagi yang masih bebas menampar tepi muka dan belakang si mati hingga menyebabkan kematian mangsa.

Gavel
Mahkamah Majistret Ipoh turut memerintahkan tertuduh Siti Nuridah Jumli dihukum penjara dua bulan jika gagal membayar denda itu. (Gambar Pexels)
PETALING JAYA:
Seorang wanita didenda RM2,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh atas tuduhan membunuh tanpa niat seorang warga emas yang ditemui mati di hadapan pintu masuk sebuah pasar raya, 25 Okt lalu.

Majistret Siti Nora Sharif yang menjatuhkan hukuman itu turut memerintahkan tertuduh Siti Nuridah Jumli, 24, dihukum penjara dua bulan jika gagal membayar denda, lapor Berita Harian.

Mengikut pertuduhan, wanita itu bersama seorang lagi yang masih bebas bertindak gopoh yang tidak terjumlah kepada mematikan orang dengan salah hingga menyebabkan kematian kepada Abd Kamar Mat Sarin, 64.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan pintu masuk pasar raya di Klebang antara jam 4.20 hingga 5.30 petang, 25 Okt lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nuranisah Ismah Muhammad Husaini, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Robert Gnanarajan.

Gnanarajan ketika memohon hukuman terhadap anak guamnya diringankan berkata Siti Nuridah berniaga sendiri dengan pendapatan RM3,000 sebulan dan belum berkahwin.

Berdasarkan fakta kes, Siti Nuridah bersama seorang lagi yang masih bebas bertindak gopoh dengan menampar tepi muka dan belakang si mati sehingga menyebabkan kematian kepada warga emas itu yang mempunyai masalah sakit jantung.

Terdapat saksi serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memperlihatkan perbuatan tertuduh dan suspek yang masih bebas menampar tepi muka dan belakang kepala si mati.

Laporan perubatan juga menunjukkan bahawa si mati mempunyai masalah sakit jantung dan tidak mendapatkan rawatan di hospital.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.