Terminal kapal pesiar beri tempias ekonomi kepada Melaka, kata Loke

Terminal kapal pesiar beri tempias ekonomi kepada Melaka, kata Loke

Menteri pengangkutan berkata pelancongan menerusi kapal pesiar itu berpotensi besar kepada kerajaan yang sedang mempromosikan sektor berkenaan.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata Melaka akan mendapat manfaat ekonomi susulan pembinaan terminal kapal pesiar di Pulau Melaka, Banda Hilir. (Gambar Bernama)
MELAKA:
Pembinaan terminal kapal pesiar di Pulau Melaka, Banda Hilir di sini bakal memberi tempias besar dari sudut ekonomi menerusi aktiviti pelancongan kepada Melaka, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Beliau berkata ia juga dilihat selari dengan dasar kerajaan Persekutuan yang menekankan kepentingan ekonomi maritim kepada pembangunan negara.

“Jadi, pelancongan menerusi kapal pesiar ini mempunyai potensi yang besar kerana kita (kerajaan juga) sedang mempromosikan sektor berkenaan kerana kita ada beberapa pelabuhan utama untuk kapal pesiar seperti di Pelabuhan Klang dan Pulau Pinang.

“Kita harap kalau terminal ini dapat disiapkan dalam masa terdekat (di Melaka), maka ia akan memberikan satu tempias yang besar kepada pembangunan Melaka dan sudah tentu baik untuk ekonomi negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Persidangan Ekonomi Maritim Antarabangsa Melaka Pertama (MIMEC 2024) yang dirasmikan Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Azhar Arshad, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Hameed Mytheen Kunju Basheer, Pengerusi TAG Marine Sdn Bhd Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Linggi International Port (KLIP) Noormustafa Kamal Yahya.

Sementara itu, Ab Rauf berkata kerajaan negeri berharap agar penerima lesen bagi membangunkan beberapa pelabuhan di Melaka dapat menyegerakan pembinaan infrastruktur berkenaan bagi memacu ekonomi negeri pada masa depan.

“Setakat hari ini Melaka telah menerima kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan, tiga lesen pelabuhan yang dalam usaha untuk membangunkan industri maritim sepanjang selat Melaka terutama dalam kawasan Selat Melaka–Waterfront Economic Zone (SM-WEZ).

“Kerajaan negeri berharap agar penerima-penerima lesen ini dapat menyegerakan aktiviti mereka supaya kelulusan ini akan menjadi satu nadi pembangunan kepada Melaka pada masa depan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.